KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengusaha premis makanan dinasihatkan
agar tidak mengelirukan pengguna dengan logo halal palsu dan tulisan ayat-ayat
al-Quran jika masih tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff
berkata, tindakan yang diambil oleh Jakim adalah untuk memastikan tiada
pengguna beragama Islam tertipu dengan penggunaan logo atau ayat-ayat yang
kononnya premis makanan tersebut dijamin halal.
“Tindakan hanya akan diambil pihak Jakim jika premis tersebut
memaparkan logo halal selain keluaran Jakim serta jika mereka menggunakan
ayat-ayat al-Quran yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan pengusaha premis makanan
agar mendapatkan kelulusan terdahulu sebelum bertindak sedemikian," katanya. –Utusan
Online