BN
TUBUH MAKMAL POLITIK KAJI SEMULA STRUKTUR PARTI - PM
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN)
akan mewujudkan makmal politik bagi mengkaji semula struktur, penjenamaan dan
polisi parti itu supaya sejajar dengan trend, senario serta landskap politik
semasa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, makmal itu akan bermula bulan depan dengan memberi tumpuan melakukan
perubahan terhadap BN selepas mengambil kira keputusan serta pencapaian BN pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Menurut beliau, setiap parti komponen
akan menghantar tiga orang wakil dan selain itu BN juga akan menjemput wakil pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), personaliti, belia dan pihak swasta.
"Makmal ini akan membuat beberapa
cadangan perubahan yang mungkin menyentuh salah satu perkara sama ada dari segi
struktur, penjenamaan, polisi atau pun melibatkan ketiga-tiganya sekali.
"Kita jangka makmal ini akan
berbincang selama beberapa hari, mungkin seminggu atau mungkin lebih daripada
itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di
Menara Datuk Onn di sini malam ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua Presiden parti-parti komponen.
Dalam pada itu, Najib berkata, paling
penting cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh makmal politik itu
bertujuan memastikan BN terus berjaya pada masa akan datang.
Mengenai masalah pencemaran jerebu teruk
yang melanda negara ekoran pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia, Najib
berkata, beliau akan mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Presiden Susilo
Bambang Yudhoyono.
Katanya, surat tersebut bertujuan menuntut
komitmen serta kerjasama daripada kerajaan Indonesia bagi menguatkuasakan
tindakan yang lebih berkesan terhadap pihak yang menjadi punca kepada kejadian
jerebu tanpa mengira dari mana, sama ada syarikat tempatan, Malaysia mahu pun
Singapura.
Selain itu, beliau menambah, menerusi
surat terbabit juga, Malaysia menawarkan kelengkapan dan kepakaran memadamkan
kebakaran hutan menggunakan pesawat amfibia yang mempunyai keupayaan menyiram
api dari udara memandangkan negara ini memiliki dua buah pesawat berkenaan.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu,
Malaysia juga akan mengutuskan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri
G. Palanivel untuk berbincang dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia Rabu ini
bagi mencari pendekatan terbaik untuk menangani pencemaran jerebu teruk kali
ini agar tidak berulang pada masa hadapan.
Sementara itu, Najib berkata, selain
pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan, Malaysia juga mengambil pendekatan
kerohanian apabila akan menjayakan solat hajat perdana selepas waktu zuhur esok
bagi memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan agar keadaan jerebu dalam negara
dapat dikurangkan. –Utusan Online