PENGANALISIS: UMNO AKAN MUNDUR JIKA LAKSANA SISTEM
KUOTA PRESIDEN, TIMBALAN
SHAH ALAM –
Penganalisis berpendapat, Umno akan kembali mundur sekiranya sistem kouta
diperkenalkan semula dalam pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden
dalam pemilihan parti itu akan datang.
Ketua Kluster
Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN),
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk
jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang
diamalkan sebelum ini.
Jelasnya
sekiranya sistem itu dilaksanakan semula, Umno akan dilihat sebagai sebuah
parti tidak demokratik kerana menyekat kebebasan ahlinya bertanding dan memilih
pemimpin mereka.
"Saya fikir,
kalau diperkenalkan balik sistem kuota, Umno jadi tidak demokratik.
"Dengan
sebab itu, kalau kita perkenalkan balik kuota dan sebagainya, maka itu
seolah-olah mengembalikan Umno seperti zaman dulu yang mana ada seolah-olah ada
sekatan untuk mana-mana pihak untuk bertanding dalam parti.
"Sepatutnya
sebagai parti demokratik, Umno tidak harus membiarkan parti itu dilihat tidak
demokratik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, di sini, hari
ini.
Beliau berkata
demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah,
Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengesyorkan supaya sistem kuota pencalonan
bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno diperkenalkan semula pada
pemilihan parti itu pada masa akan datang.
Sementara itu,
Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pelaksanaan sistem kuota
dilihat tidak wajar dan kena pada tempatnya kerana ia menghalang ruang
demokrasi dalam Umno.
Katanya,
pembaharuan dan transformasi diuar-uarkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun
Razak beberapa tahun lalu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membuat
sebarang penilaian dan andaian yang tidak berasas.
“Sistem kuota
itu yang menghalang orang lain bertanding dan ia tidak wajar diteruskan.
“...ia
sepatutnya beri ruang demokrasi dan hak kepada ahli peringkat bahagian untuk
memilih pemimpin mereka.
“Jika mengikut
tradisi Umno sebelum ini, ia hanya melibatkan perwakilan di lebih 200 bahagaian
sahaja,” katanya.
Shaharuddin
menegaskan, sistem baru itu mampu menarik orang Umno dari pelbagai peringkat
untuk bertanding, sekaligus menafikan dakwaan bahawa Umno dikuasai oleh
kelompok tertentu sahaja.
Katanya lagi,
usaha mendemokrasikan Umno tidak seharusnya dihantui dengan sistem kouta yang
jauh kebelakang beberapa tahun lalu.
“Ia tidak kira
sesiapa pun dan terbuka kepada setiap ahli parti untuk bertanding dalam Umno.
“Jika sistem
kuota diamalkan lagi, hilanglah ruang demokrasi, buat apa halang konsep
demokrasi,” katanya.-Sinar Harian