BANTUAN PERKAHWINAN UNTUK BELIA?
SHAH ALAM:
Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan memberi bantuan perkahwinan pertama
kepada golongan muda yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membawa perkara
yang dibangkitkan anggota pertubuhan belia Selangor ke dalam mesyuarat Kabinet
hari ini untuk dibincangkan.
“Kerajaan amat pemurah. Jika boleh berikan
bantuan lain, takkan bantuan seperti ini tidak boleh. Saya akan bawa ke
mesyuarat Kabinet esok (hari ini). Ini untuk perkahwinan pertama,” katanya
ketika sesi dialog bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Selangor dan mahasiswa
di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.
Perkara itu
dibangkitkan salah seorang anggota pertubuhan belia di Selangor dalam sesi
dialog berkenaan yang meminta Kerajaan Pusat menyediakan bantuan sebanyak
RM1,000 kepada golongan muda yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah
tangga. Muhyiddin berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada beliau setuju atau tidak.
“Ini bukan
lawak, tetapi serius. Saya percaya dengan sikap pemurah Perdana Menteri,
bantuan ini boleh diberikan kerajaan,” katanya. -HarianMetro