KUALA
LUMPUR: Tindakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan
penglibatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyediakan dan
menandatangani kenyataan bersama Pakatan Rakyat yang membenarkan orang bukan
Islam menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai cubaan memperlekeh golongan
ulama.
Anggota
Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selain memalukan Abdul
Hadi, Anwar dalam masa yang sama seolah-olah cuba membunuh peranan ulama dalam
parti itu.
“Dia nak
tunjuk ulama tak boleh dipakai, tak konsisten. Dia nak tunjuk Abdul Hadi tak
ada kredibiliti supaya golongan sekular atau erdogan dalam PAS boleh ambil alih
kepimpinan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Timbalan
Menteri Pelajaran itu berkata Anwar tidak selesa dengan golongan ulama yang
dilihat menghalang cita-cita pakatan pembangkang untuk memerintah, justeru cuba
menghasut anggota PAS bahawa ulama tidak mampu memimpin parti.
Anwar
mendedahkan penglibatan Abdul Hadi berhubung perkara itu ketika berceramah di
Ketereh, Kota Baharu, Selasa lepas.
Kenyataan
bersama yang dirujuk Anwar itu adalah bertentangan dengan keputusan mesyuarat
Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Jan yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh
digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.
Menyifatkan
pemecatan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura
Ulama sebagai kejayaan terbesar Anwar untuk menyingkirkan ulama, Mohd Puad
tidak menolak akan berlaku pertembungan antara golongan ulama dan bukan ulama
satu hari nanti.
Pengerusi
Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya pula
berkata Anwar bukan sahaja tidak menghormati PAS sebagai rakan pakatan, tetapi
Abdul Hadi sebagai presiden parti.
Katanya,
Anwar turut memperbodoh-bodohkan Majlis Syura Ulama melalui tindakannya itu
selain cuba memporak-perandakan PAS.
“Keputusan
yang dibuat Majlis Syura Ulama sebagai majlis tertinggi dalam PAS adalah
mendahului keputusan mana-mana individu lain dalam parti itu termasuk Presiden
sendiri.
“Pandangan
Abdul Hadi tidak mewakili PAS secara keseluruhan. Itu pendapat dia, bukan
pendapat PAS. Tapi kalau dia (Abdul Hadi) kata itu kenyataan parti, apa yang
kita tahu kenyataan PAS adalah tidak sama,” katanya.
Fathul Bari
juga sependapat dengan Mohd Puad bahawa tindakan Anwar akan memberi implikasi
negatif kepada kerjasama dalam pakatan pembangkang selain menyebabkan
pertembungan dalam PAS.
“Ia akan
menyebabkan orang ramai malah anggota PAS sendiri hilang rasa hormat kepada
Abdul Hadi selaku presiden parti,” katanya.
Dalam pada
itu, Fathul Bari berkata Abdul Hadi perlu menarik semula kenyataan awalnya
berhubung isu kalimah Allah tersebut demi kemaslahatan ummah.
Presiden
Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali pula menggesa Abdul Hadi menjelaskan
pendiriannya berhubung isu tersebut demi mempertahankan kredibilitinya sebagai
seorang ulama.
“Adakah
kenyataan Anwar itu menepati apa yang berlaku atau Ustaz Hadi ada versinya yang
tersendiri demi mempertahankan kewibawaan PAS sebagai parti politik Islam yang
tidak sekali-kali sanggup menyembunyikan kebenaran,” katanya.
“Ustaz Hadi
perlu bertanggungjawab penuh di sisi Allah kerana keputusan yang dikatakan
dibuat olehnya itu mempunyai implikasi hukumnya yang tersendiri,” katanya.
Ketua
Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ruslan Kasim berkata
golongan ulama jelas diperalatkan golongan oportunis seperti Anwar.
Beliau
berkata Abdul Hadi pula bertindak seolah-olah seperti lalang dan sanggup
menggadaikan akidah Islam semata-mata untuk kepentingan politik.
“Ini
tindakan terdesak untuk menarik orang PAS yang jelas tidak tahu rahsia yang
sebenarnya. Presiden PAS seperti tiada prinsip dan lebih mengutamakan Putrajaya
daripada menegakkan akidah Islam,” katanya. – BERNAMA/TheMalaysianTimes