MAT SABU PENGIKUT
SYIAH, SOLAT GUNA BATU - KDN
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan
Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS terlibat dengan ajaran Syiah.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Radzi berkata
ini berdasarkan maklumat yang mengaitkan beliau dengan mazhab tersebut.
Abdul Rahim berkata maklumat-maklumat itu termasuk Mohamad
membaca 'Selawat' mengikut ajaran Syiah.
"Beliau juga dalam beberapa majlis menyatakan rasa
kagum terhadap kepimpinan dan perjuangan Khomeini," katanya pada sidang
media di sini Khamis.
Abdul Rahim berkata, polis dan Jabatan Agama Islam Malaysia
(Jakim) akan terus bekerjasama untuk membanteras aktiviti penyebaran ajaran
Syiah di negara ini.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan pemimpin nombor dua PAS
yang dikenali sebagai 'Mat Sabu' itu didapati menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan
Islam berdasarkan cara ulama Syiah Iran Imam Khomeini melalui tulisannya
bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf Khomeini" dalam ruangan
Fikrah, akhbar Harakah halaman 16 pada 5 hingga 15 Julai 2008.
"Selain itu, beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan
Presiden PAS pada 13 Jun 2011 turut menyatakan kekaguman dengan kepemimpinan
dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorak pemikiran beliau," kata Abdul
Rahim.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata seorang pemimpin PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.
Abdul Rahim juga berkata Mohamad semasa mengulas perutusan
Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan
pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik
dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada
25 Dis 2008.
Selain itu Abdul Rahim berkata temuramah dibuat oleh agensi
berita 'Antara Pos' dengan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Aidit
Ghazali menjelaskan Mohamad merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan dirinya
mempunyai kaitan dengan Syiah.
"Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha
Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan
isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat
hingga lima kali," katanya.
Menurut Abdul Rahim, berdasarkan maklumat Mohamad juga
didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah
Satun, selatan Thailand pada 2011 untuk mengunjungi pemimpin Syiah dan
menghadiri majlis ramah mesra di sana.
Menurutnya berdasarkan maklumat, pemimpin PAS itu juga
didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah,
Semanggol, Perak pada 2011, dan kelas pengajian itu dikendalikan dua ustaz
berfahaman Syiah yang bertugas di sebuah daripada sekolah agama di Gunung
Semanggol.
"Berdasarkan temuramah pegawai KDN Ustaz Zamihan Mat
Zin bersama C.N. Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid
Jamek, Kuala Lumpur pada 9 Dis 2013 yang menjelaskan Mohamad kerap kali melawat
Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom,
Iran," kata beliau.
Selain itu menurut temuramah Ustaz Zamihan bersama Prof
Madya Dr Abdul Aziz Hanafi (tokoh ulama) semalam, Abdul Aziz menjelaskan
Mohamad pernah melafaz selawat seperti diamalkan penganut Syiah pada satu sesi
ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005, kata Abdul Rahim.
"Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sg Jagung, Pendang,
Kedah juga menjelaskan Mohamad merupakan salah seorang penganut Syiah kerana
beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mohamad menunaikan solat
menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya. "Amalan ini sinonim
dengan golongan Syiah," katanya.
Sehubungan itu Abdul Rahim berkata segala fakta dikemukakan
jelas menunjukkan pemimpin PAS itu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti
Syiah.
"Secara kesimpulan, Mohamad juga menggesa umat Islam
Malaysia mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas
berasaskan Syiah.
"Selain itu keterangan beliau sendiri melalui
kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di
dalam atau luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau
dengan Syiah," kata Abdul Rahim.
Selain itu, keterangan daripada rakan-rakan Mohamad yang
pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama turut memperakui
kaitan beliau dengan Syiah, katanya.
Abdul Rahim berkata menerusi maklumat-maklumat yang
disampaikan itu, ia jelas menunjukkan KDN dan agensi-agensi kerajaan yang lain
sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan dan fahaman Syiah.
Katanya fahaman itu boleh menjejaskan aspek keselamatan dan
ketenteraman awam termasuk perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah.
Sumber: mStar Online