Kementerian Kesihatan menggantung
pengimportan 11 produk keluaran beberapa syarikat makanan Taiwan mulai semalam,
termasuk ‘Tapioca Balls’ atau ‘Tapioca Pearls’ yang diguna dalam penyediaan
minuman ‘Bubble Tea’ kerana dilapor mengandungi asid maleik.
Asid maleik
dalam minuman ini??
|
Pengarah Kanan Keselamatan dan
Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman berkata, penggunaan
bahan itu tidak dibenar mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana jika
diambil pada paras tinggi boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.
“Terkini, didapati Tapioca Balls atau
Tapioca Pearls yang dikeluarkan beberapa syarikat (Taiwan) telah dicemari
maleic acid (asid maleik) dan ia turut dikesan di dalam beberapa produk makanan
yang lain.
“Mengikut pihak Taipei Economic and
Cultural Office di Malaysia, Food and Drug Administration Taiwan sedang
mengambil tindakan kawalan bagi menangani isu itu,” katanya dalam kenyataan di
sini, Rabu.
Beliau berkata 11 produk berkenaan
ialah Tapioca Ball keluaran Sunright Corporation; Tapioca Starch (Hong Kai
Foods Co); Black Tapioca Pearl (Possmei International Co Ltd); Indica Rice
Powder (Sunright Foods Corporation); Tapioca Pearls (Shang Wang) dan Tapioca
Starch Ball (Grand Chainly Enterprises Co Ltd).
Selain itu, Tapioca Pearls (Ting
Long); Noodles (Sin Chi Zhi Miang Chang); Tapioca Pearls (An Si Li) dan Tapioca
Pearls White and Black (Tapioca Foods Company Ltd) juga digantung
pengimportannya.
Noraini berkata, Kementerian Kesihatan
juga telah mengadakan perbincangan dengan Taipei Economic and Cultural Office
di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi itu dan akan terus
memantau makanan yang diimport dari negara berkenaan.
Sebelum ini, katanya media melaporkan
terdapat asid maleik dalam Tapioca Balls dan Tapioca Pearls keluaran syarikat
Taiwan Sunright Foods Corporation namun Kementerian Kesihatan mendapati tiada
produk itu diimport ke Malaysia.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan
akan menjalankan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan daripada
pengimport yang tidak mengemukakan sijil analisis makmal yang diiktiraf Food
and Drug Administration Taiwan bagi mengesahkan produk itu bebas asid maleik.
Noraini juga meminta pengimport,
pengedar dan penjual produk berkenaan supaya menarik semula produk itu dari
pasaran dengan kadar segera selain menasihatkan industri yang menggunakan
produk berkaitan supaya menghentikannya.
“Semua pihak pengimport, pengedar,
penjual dan industri yang terlibat dikehendaki melaporkan kepada Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat
Kesihatan Daerah mengenai produk yang didapati tercemar dengan asid maleik
supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.
Bagaimanapun, Noraini berkata
pengguna yang telah mengambil produk itu sebelum ini tidak perlu bimbang kerana
pengambilan asid maleik sekali sekala pada paras rendah tidak memudaratkan
kesihatan. -mStar