SEMPADAN AGAMA ISLAM MULA DILANGGAR - RAJA NAZRIN
SUNGKAI -
Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah perbuatan mencabar perkara
berkaitan Islam atau ucapan memetik contoh tidak tepat bertujuan mencerminkan
imej Islam secara negatif adalah melanggar adab resam beragama secara harmoni
dan aman.
Titah
baginda, akhir-akhir ini garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula
dilanggar malah ada kalangan bukan Islam yang semakin lantang berbuat demikian.
"Raja
Melayu, ulama dan umat Islam tidak menindas, menghina atau memperkecilkan agama
lain. Malah mana-mana perbuatan ekstrem yang cuba dilakukan mana-mana pihak
akan dibanteras secara tegas dan pantas.
"Umat
Islam diasuh menghormati amalan agama lain dan pada lazimnya akan menghindar
daripada membuat ulasan secara terbuka terhadap pegangan, kepercayaan, amalan,
acara atau ritual agama-agama lain. Malah, hak agama-agama lain, turut dijamin
dalam Perlembagaan Negara," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul
peringkat negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara Felda di sini hari ini.
Baginda
bertitah, tindakan menjadi jaguh mana-mana isu agama bagi mendapat laba politik
adalah perbuatan yang tidak diasaskan kepada roh agama sebenar dan kemungkinan
besar menjadi perosak hubungan harmoni antara agama.
Isu agama
hendaklah ditangani dalam semangat dan roh agama, di kalangan ulama dan mereka
yang arif dalam ilmu agama masing-masing, dengan tujuan dan hasrat mencari
penyelesaian dan bukan secara mensensasikan isu agama untuk mendapat laba
politik, titah baginda.
Raja Nazrin
bertitah kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sangat wajar diteladani dan diberi
perhatian dalam menghadapi senario semasa dunia dan setempat.
"Ini
kerana kebijaksanaan Rasulullah S.A.W menggubal formula yang dapat menjalin
hubungan harmoni antara umat manusia yang telah Allah ciptakan berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku amat penting untuk mewujudkan dunia atau negara yang aman,
tenteram, makmur lagi sejahtera.
"Ia
amat relevan dalam konteks negara kita yang dikurniakan warga pelbagai agama,
kaum, bahasa dan budaya. Komponen untuk mewujudkan keharmonian telah
dilaksanakan dengan bijak lagi tertib sepanjang hayat dan sepanjang kepimpinan
Rasulullah, begitu juga oleh para sahabat yang menghayati roh kepimpinan
Baginda.
"Dalam
menangani konflik dan krisis melibatkan penganut dan kaum yang berlainan,
Baginda tidak mengamalkan diskriminasi tetapi teguh berpegang kepada prinsip
keadilan, berpandukan seruan Allah," titah Raja Nazrin.
Baginda
bertitah kepimpinan berintegriti Rasulullah S.A.W yang dicerminkan melalui
sifat dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W juga perlu dijadikan contoh terutama
dari segi tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga mahupun kenalan
terdekat.
"Perhatian
baginda (Rasulullah) lebih tertumpu untuk membela nasib golongan miskin dan
hamba abdi. Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan baginda,
sebaliknya orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan mereka untuk
menyokong perjuangan baginda.
"Baginda
mengotakan apa yang baginda kata, baginda tidak berpura-pura, baginda tidak
bersandiwara, baginda tidak melakonkan watak jujur tetapi baginda sesungguhnya
bersifat jujur," titah Raja Nazrin.
Pemangku
Raja Perak bertitah budaya hipokrasi akan melemahkan tiang integriti kerana
berlakunya amalan 'pepat di luar rencong di dalam' dan membenarkan 'gunting
selesa dalam lipatan'.
Titah
baginda sebahagian besar masalah umat pada hari ini berpunca daripada ketiadaan
integriti terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan
kuasa.
"Sebahagian
besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana
perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur...secara tidak telus.
Malah
berlakunya perebutan kuasa adalah kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau
konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni,"
titah baginda.
Raja Nazrin
bertitah, seruan, perbuatan dan sikap diam Rasulullah S.A.W memiliki nilai
sejagat merentasi sempadan agama, kaum dan wilayah yang boleh dijadikan pesanan
untuk kemanusiaan sejagat.
Oleh yang
demikian, Raja Nazrin menyarankan kepada penganjur supaya sambutan Maulidur
Rasul tidak eksklusif untuk umat Islam sahaja malah diberi ruang penyertaan
kepada orang bukan Islam.
Ia
bertujuan supaya fahaman terhadap Islam dapat ditingkatkan di samping nilai
luhur kemanusiaan sejagat didukung bersama-sama, titah baginda.
Raja Nazrin
bertitah sambutan itu mampu menjadi instrumen menyatupadukan rakyat selain
forum untuk meningkatkan kefahaman yang lebih luas terhadap nilai kepimpinan
dan keharmonian hubungan antara agama. – Bernama/Sinar Harian
KD: Amat mengangumi Raja Nazrin. Baginda
sentiasa berterus-terang, tidak kira apa jua isu melibatkan Raja-raja, isu-isu
perpaduan, peranan agama, kebebasan kehakiman, rasuah atau pun penyalahgunaan
kuasa.