KUCHING::
Pelajar yang menggunakan cuti sekolah untuk melayari laman sosial Facebook
selama tiga hingga tujuh jam sehari dibimbangi mengidap kemurungan pada masa
depan.
Risiko
kemurungan membabitkan kesihatan mental berlaku kerana kurang pergaulan sosial,
justeru, apabila tiba masa berdikari, golongan terbabit berdepan masalah
menyerap tekanan ketika bekerja akibat kelemahan menguasai keadaan sekeliling,
iaitu ‘copy skills’.
Pengarah
Hospital Sentosa, Dr Lau Kim Kah, berkata bagi mengelak keadaan itu, ibu bapa
perlu menggalakkan anak mereka keluar bersosial secara sihat khususnya ketika
musim sekolah, supaya kemahiran menguasai tekanan dapat dipelajari.
Kemahiran
murid
“Apa yang
dimaksudkan dengan copy skills adalah kemahiran murid meniru atau belajar
daripada persekitarannya dalam memahami masalah dan menyerap tekanan.
“Kegagalan
mempelajari kemahiran dalam situasi bukan formal akan menyebabkan golongan
terbabit berdepan risiko mengidap kemurungan, sekali gus mengalami masalah
mental,” katanya ketika ditemui BH sempena majlis perasmian hari terbuka dan
jualan amal Hospital Sentosa, di sini, semalam.
Kajian
Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk
negara ini atau 1.8 peratus menghadapi kemurungan, manakala penyakit keresahan
adalah 1.7 peratus.
Tahap
kemurungan didapati lebih tinggi membabitkan 2.5 peratus dalam kalangan usia 16
hingga 24 tahun dan kedua tertinggi membabitkan penduduk berumur 65 tahun ke
atas.
Timbalan
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing, berkata pihaknya menghadapi
cabaran besar meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggapan menyamakan
maksud kesihatan mental dan penyakit mental.
“Kesihatan
mental adalah membabitkan semua ahli masyarakat berbeza manakala penyakit
mental cuma membabitkan individu tertentu saja,” katanya. -BHarian