Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yang terbaik pernah dilakukan kerajaan.
Menurut
beliau, bajet bertemakan 'Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah
Janji Ditepati' itu begitu fokus, realistik, kukuh, mengambil kira senario
ekonomi semasa dan memberi rahmat kepada rakyat.
Selain itu,
kata beliau, Bajet 2013 juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia
kepada 4.5 hingga 5.5 peratus dan pada masa sama mengurangkan defisit kepada
tiga peratus menjelang 2015.
"Semua
pihak sama ada rakyat biasa, petani, nelayan, pegawai kerajaan dan pesara
mendapat rahmat. Tiada satu pun kumpulan yang terasing atau terkeluar daripada
nikmat bajet kali ini.
"Saya
kira tidak ada pihak yang rasa terkilan termasuk pegawai kerajaan yang menerima
bonus sebulan setengah gaji. Bajet 2013 ini memberi nikmat kepada 100 kumpulan
sasar melalui pelbagai pemberian dan tawaran," katanya pada sidang akhbar
di lobi Parlimen hari ini.
Menurut
Muhyiddin, beliau secara keseluruhannya berbangga kerana usaha kerajaan
menerusi bajet itu bermakna ekonomi negara akan terus mantap dan rakyat dapat
dibantu secara langsung.
Dalam pada
itu, beliau selaku pemimpin nombor dua negara menafikan dakwaan pembangkang
kononnya Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya kerana apa yang dilakukan
kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.
Katanya,
dakwaan pembangkang itu tidak berasaskan kepada bajet nasional tersebut yang
diputuskan Najib selaku Menteri Kewangan yang mengambil kira soal kos hidup
rakyat, masalah ekonomi dunia serta berpandukan tanggungjawab fiskal.
"Kita
memang sudah menjangkakan mereka akan membuat dakwaan sedemikian. Bajet 2013
bukan kerana pilihan raya tetapi mengambil kira keperluan rakyat berlandaskan
tanggungjawab fiskal," jelasnya.
Mengenai
langkah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk gelombang kedua
termasuk kepada golongan bujang, Muhyiddin berkata, ia contoh
kebertanggungjawaban kerajaan Barisan Nasional (BN).
Jelas
beliau, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos hidup tetapi akan
mengembangkan perdagangan dalam negara kerana nilai RM250 tersebut akan
memasuki semula proses ekonomi apabila rakyat berbelanja.
"Dasar
ini kita sudah laksanakan sebelum ini dan kesannya bukan sahaja dapat
mengurangkan kos hidup rakyat, tetapi wang yang dibelanjakan mereka berjumlah
lebih RM2 bilion pada BR1M terdahulu terbukti berupaya membantu pertumbuhan
ekonomi negara.
"Saya
fikir langkah kerajaan memperkenal dan meneruskan program BR1M ini satu
pengurusan ekonomi yang amat tepat kerana untuk gelombang kedua, rakyat yang
layak menerima BR1M ini lebih enam juta isi rumah," katanya.
Ditanya
tentang langkah realistik kerajaan menawarkan diskaun sehingga 20 peratus
kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Muhyiddin
berkata, ia merupakan keputusan tepat.
Jelasnya,
berbeza dengan cadangan tidak berpijak di bumi nyata yang dikemukakan
pembangkang untuk menghapuskan PTPTN tawaran diskaun tersebut akan memberi
manfaat kepada peminjam dan negara.
"Ini
membuktikan keputusan kita menyediakan PTPTN tepat kerana ia keperluan. Kalau
PTPTN ini dihapuskan ia bukan sahaja memberi beban yang besar kepada kerajaan
tetapi ramai pelajar tidak mampu melanjutkan pengajian mereka," katanya.
Ditanya
tentang penurunan cukai individu sebanyak satu mata bagi setiap kategori
pendapatan, beliau memberitahu, ia akan memberi lebihan pendapatan kepada
rakyat.
"Ini
satu cara untuk membolehkan kumpulan pertama berpendapatan RM2,500 hingga
RM5,000 yang dahulu dikenakan cukai keluar daripada kumpulan itu,"
ujarnya. -Utusan Malaysia