PENCEROBOHAN LAHAD DATU: KERAJAAN DIGESA TUBUH SURUHANJAYA, SIASAT DAKWAAN
FILIPINA
KULIM:
Kerajaan digesa menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyisasat dakwaan media
Filipina dan agensi berita Reuters yang melaporkan ahli politik pembangkang
terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Pesuruhjaya
Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Negeri Kedah, Khairul
Anuar Ramli berkata sehubungan itu, satu laporan polis berhubung isu pembabitan
pembangkang dalam kes tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini
petang ini.
Pemimpin
pembangkang dikatakan menemui pihak Kesultanan Sulu sejak November tahun lalu
dan tindakan itu mengancam keselamatan dan kedaulatan negara menyebabkan tujuh
anggota pasukan keselamatan terkorban," katanya kepada pemberita selepas
membuat laporan tersebut.
Hadir sama
Presiden Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Saiful Ambar Abdullah Ambar
bersama lebih 50 anggota dan penyokong badan tersebut.
Khairul
Anuar turut membantah sekeras-kerasnya kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Tian Chua yang mendakwa pencerobohan kes tembakan yang
mengorbankan nyawa anggota keselamatan negara merupakan satu konspirasi Umno
untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang pilihan raya umum kelak.
"Pucuk
pimpinan PKR harus bertanggung jawab atas kenyataan yang amat tidak
bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat itu," katanya.
Katanya
kenyataan sedemikian seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa anggota pasukan
keselamatan yang terkorban tiada nilai langsung di sisi pimpinan PKR berkenaan.
Katanya, sewajarnya Tian Chua bersikap profesional dan sensitif dengan kesedihan
keluarga keluarga anggota yang terkorban kerana kenyataan itu merupakan hasutan
supaya rakyat membenci pihak berkuasa dan jika dibiarkan boleh menimbulkan
keadaan tidak tenteram kepada keselamatan negara.
"Saya
mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta pendakwaan seadil-adilnya,"
katanya.
Khairul
Anuar turut meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
supaya bertindak segera menghentikan "amaran-amaran" yang tidak mendatangkan
apa-apa kesan kepada penceroboh-penceroboh tetapi lebih tegas bertindak dengan
apa cara sekali pun untuk memastikan krisis yang berlaku dapat dihentikan serta
merta.
"Kita
tidak rela lebih banyak nyawa anggota pasukan keselamatan yang menjalankan
operasi di Lahad Datu dan Semporna terkorban. Ini penting untuk memberi
persepsi kepada rakyat situasi dalam negara kita boleh dikawal.
"Selain
daripada itu kami meminta supaya agensi-agensi yang lain seperti Angkatan
Tentera Malaysia turut campur tangan dalam memastikan keselamatan negara
terjamin," katanya.
Di PASIR PUTEH, Kelantan, lebih 50 wakil badan bukan
kerajaan (NGO)dan Umno bahagian Pasir Puteh hari ini membuat laporan polis bagi
mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap "dalang" insiden pencerobohan
itu.
Antara NGO
terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini ialah
Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Pesara Polis, Persatuan Pekebun Kecil,
anggota Majlis Belia Jajahan dan wakil guru jajahan Pasir Puteh selain anggota Umno,
pada pukul 11 pagi ini.
"Risikan
dan penyiasatan yang menyeluruh berhubung insiden berdarah yang menyebabkan
kematian beberapa anggota pasukan keselamatan perlu dilakukan termasuk meneliti
dakwaan terhadap mereka ke muka pengadilan, " kata Ketua Umno Bahagian
Pasir Puteh, Zawawi Othman kepada pemberita di sini.
Beliau
berkata laporan media Filipina yang menyebut terdapatnya campur tangan pihak
pembangkang di negara ini yang didakwa sebagai dalang utama pencerobohan itu
juga perlu diberi penelitian yang khusus.
"Kami
tidak mahu pemimpin sedemikian menyebarkan fitnah membenci kerajaan dan
bertindak mencabar kedaulatan undang-undang negara yang mengakibatkan
kehilangan nyawa wira negara," katanya.
Zawawi
berkata insiden berdarah di Lahad Datu yang sehingga ini telah mengorbankan
beberapa nyawa termasuk dua perwira negara iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan
Koperal Sabaruddin Daud dari Unit Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu
memerlukan tindakan susulan untuk membongkar siapa sebenarnya dalang di sebalik
pencerobohan yang berlaku di daerah itu.
Beliau juga
berkata isu pencerobohan yang berlaku adalah isu nasional yang membabitkan
keselamatan dan kedaulatan negara yang sepatutnya tidak wajar dikaitkan dengan
kepentingan politik.
Di KUALA
LUMPUR, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut mencadangkan penubuhan
suruhanjaya diraja berhubung insiden itu.
Timbalan
Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman juga menyeru semua lapisan rakyat Malaysia bersatu
dan menyatakan sokongan kepada pasukan keselamatan yang sedang berjuang
menentang ancaman kumpulan penceroboh itu.
"Ancaman di Lahad Datu diharap
akan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kita harus bersatu padu
dalam keadaan tersebut kerana ia bukti bahawa rakyat Malaysia menolak segala
ancaman pencerobohan dan bersedia pada bila-bila masa untuk menyatakan sokongan
dalam pelbagai cara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga
mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa menyiasat dakwaan media asing
mengenai penglibatan pembangkang dalam insiden pencerobohan itu.
"Ini
adalah perkara yang amat serius dan ia satu pengkhinatan yang sangat berbahaya
dan telah mengancam keselamatan negara.
"Ini
bukan soal politik lagi sebaliknya ia berkaitan dengan kedaulatan negara,"
katanya. –BERNAMA/mStar