KUALA
LUMPUR - Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw senada dengan Setiausaha
Agungnya, Lim Guan Eng bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana
Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) akan datang.
Seng Giaw
memberitahu, keputusan mengangkat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu
telah dipersetujui bersama dan keputusan tersebut kekal.
"Kepimpinan
pakatan pembangkang sudah membuat keputusan bahawa sekiranya kami memenangi
pilihan raya umum akan datang, calon Perdana Menteri ialah Anwar. Itu sahaja,
keputusan telah dibuat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Pada
muktamar tahunan Pas minggu lalu, perwakilan parti itu yang terdiri daripada
ahli-ahli akar umbinya mencadangkan Presidennya, Abdul Hadi Awang wajar
diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi
PRU-13.
Ahli-ahli
akar umbi parti itu beranggapan, Abdul Hadi merupakan individu paling layak
memimpin negara dan bukannya Anwar.
Bagaimanapun,
perkara tersebut jelas bertentangan dengan dasar dan persetujuan yang dicapai
dalam pakatan pembangkang sebelum ini yang mahukan Anwar menjadi Perdana
Menteri.
Guan Eng
yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa Anwar tetap
menjadi pilihan utama sebagai Perdana Menteri dan bukannya Abdul Hadi.
Sementara
itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua memberitahu, pakatan pembangkang sepakat
mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Soal
Abdul Hadi jadi Perdana Menteri itu bukannya dibawa oleh Pas tetapi perwakilan
mereka sahaja. Tidak timbul isu siapa akan jadi Perdana Menteri kerana kami
sudah sepakat kalau mendapat majoriti pada pilihan raya umum akan datang, Anwar
bakal menjadi Perdana Menteri," jelasnya.
Dalam pada
itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, sekiranya Pas mendapat
majoriti kerusi pada pilihan raya umum akan datang, perkara berkenaan akan
dibincangkan dalam musyawarah pakatan pembangkang.
"Soal
siapa akan jadi Perdana Menteri, kita tentukan selepas pilihan raya. Apa yang
penting ketika ini Pas perlu perkemaskan jentera bagi menghadapi pilihan raya
umum akan datang," ujarnya. –Utusan Online