AKTA KAWALAN HARGA
CEGAH PENIAGA SELEWENG GST
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga
dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan
sewenang-wenangnya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan
pada April 2015.
Berdasarkan pemantauan ke atas negara-negara yang sudah pun
melaksanakan sistem pencukaian itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad
Maslan berkata harga barangan (secara keseluruhan) akan naik sekitar 1.8 hingga
dua peratus pada tahun pertama pelaksanaan.
"Kebiasaannya harga barangan ini akan naik kerana
mereka (peniaga) tidak memansuhkan cukai 10 peratus daripada sistem asal, tapi
terus memasukkan enam peratus daripada sistem GST kepada harga barangan
tersebut.
"Jadi kita akan menggunakan akta yang sedia ada bagi
memastikan tiada penyelewengan harga berlaku di negara ini apabila GST
dilaksanakan kelak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk
Abdul Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Semasa membentang Bajet 2014 pada Oktober lepas, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam
peratus bermula April 2015.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Datuk S
Nallakarupan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan bagi
memastikan rakyat memahami pelaksanaan GST, Ahmad berkata selain kempen
berterusan, kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Pengguna, tiga bulan
sebelum pelaksanaan sistem itu.
Beliau berkata senarai itu akan dikeluarkan bagi
meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna serta memastikan mereka tidak
ditindas sewenang-wenangnya oleh golongan peniaga kelak.
"Kempen-kempen ini akan kita teruskan supaya kita dapat
menjelaskan kepada rakyat bahawa GST ialah satu cukai yang lebih telus, adil,
kepada pengguna dan juga mendapatkan hasil kepada negara.
"Cukai (menjadi) lebih baik dan ia juga mendatangkan
beberapa faedah, termasuk mengurangkan kos perniagaan...bila kurang kos itu,
maka harga barangan dapat diturunkan," katanya.
Selain itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa pelaksanaan GST
dapat membantu mengurangkan kesan dari 'black economy' iaitu kerugian yang
negara tanggung akibat tindakan beberapa pihak melarikan diri daripada membayar
cukai.
Menurutnya pelaksanaan GST juga dapat mengurangkan ketirisan
yang sedang berlaku dalam negara secara sistematik.
"Di negara kita, termasuk negara-negara yang sedang
membangun, berlaku situasi yang disebut 'black economy atau shadow economy,' di
mana berlaku ketirisan yang melibatkan puluhan bilion ringgit kerana tidak
patuh cukai.
"Tetapi apabila laksanakan GST, amat sukar untuk lari,
terutama kepada peniaga. Ia akan mengurangkan karenah birokrasi, menjamin
ketelusan dan menjadikan harga barangan lebih berpatutan," katanya. –
Bernama
Sumber: Sinar Harian