Showing posts with label banjir. Show all posts
Showing posts with label banjir. Show all posts

Monday, December 30, 2013

PENJAWAT AWAM MANGSA BANJIR BOLEH TUNTUT INSURANS
    
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tuntutan insurans,” kata Perdana Menteri dalam Twitter semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian bagi mengulas pautan twitter BERNAMA bertajuk ‘Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam’.

Tuntutan daripada panel

BERNAMA memetik makluman Kementerian Kewangan, iaitu penjawat awam mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihati mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Tuntutan insurans meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, selain kejadian pecah rumah ketika banjir.

Tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi syarikat insurans/takaful yang sedia memberikan perkhidmatan. Maklumat lanjut boleh dilayari di http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121. 

Sumber: Bernama/Berita Harian
ORANG RAMAI DINASIHAT PATUHI ARAHAN JIKA BERLAKU GELOMBANG KEDUA BANJIR – POLIS KUANTAN
 
KUANTAN: Polis meminta orang ramai bersedia dan mengikuti semua arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gelombang kedua banjir di Pahang yang dijangka bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebanyak 67 buah pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan yang boleh memuatkan 20,415 orang telah disediakan untuk mangsa banjir.

Katanya, tujuh mukim terlibat iaitu di Kuala Kuantan 1 sebanyak 11 pusat pemindahan, Kuala Kuantan 2 (21 pusat pemindahan), Ulu Kuantan (12), Beserah (dua), Sungai Karang (lapan), Penor (lapan) dan Ulu Lepar (lima).

"Selain itu, beberapa kawasan letak kenderaan turut dicadangkan bagi mangsa-mangsa banjir mengikut kawasan kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kawasan yang dicadangkan bagi penduduk Permatang Badak, Sungai Isap 1, Sungai Isap Jaya, Taman Guru, Taman Sepakat dan Taman Kurnia ialah di tanah lapang bersebelahan pasaraya Giant, di tepi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dekat Kemunting dan di sepanjang laluan dari TanahPutih menghala ke persimpangan lampu isyarat Permatang Badak.

"Bagi penduduk di sekitar Taman Guru, Gudang Rasau dan perumahan Batu 6 boleh meletak kenderaan di laluan masuk ke SMK Gudang Rasau dan di sepanjang kiri kanan jalan Gambang menghala ke Taman Tas.

"Penduduk di sekitar Bukit Rangin dan Kuantan ByPass boleh meletak kenderaan masing-masing di laluan Kuantan-ByPass dari arah Bukit Rangin menghala ke Kolej Shahputra dan di tanah lapang berhadapan stesen minyak Shell Jalan Kuantan-ByPass.

"Sementara penduduk di sekitar Perkampungan Cenderawasih dan Kampung Tengahpula mereka boleh meletak kenderaan di kawasan perindustrian Indera Mahkota 3,"katanya.

Sumber –BERNAMA, mStar

Wednesday, December 11, 2013

PUSAT PENEMPATAN MANGSA BANJIR PERLU DIKAJI SEMULA - JAILANI

HULU TERENGGANU: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari meminta supaya pusat penempatan bagi mangsa banjir di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dikaji semula demi keselesaan penghuninya.

Beliau berkata tempat penempatan seperti di surau dan masjid yang kecil agak tidak selesa untuk mangsa banjir, lebih-lebih lagi jika mereka ditempatkan dalam bilangan yang ramai.

"Sekarang juga terdapat penempatan yang bercampur antara wanita dan lelaki dan ini sangat kurang sesuai. "Insya-Allah perkara ini akan kita kaji supaya pada musim banjir akan datang tidak akan berlaku lagi masalah sebegini," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatannya ke sekitar kampung yang terlibat dengan banjir di Hulu Terengganu.

Dalam lawatan itu, Jailani turut memberi bantuan berupa keperluan makanan serta pakaian untuk mangsa banjir.

Sumber: mStar Online
BANJIR: MANGSA DINASIHAT IKUT NASIHAT PEGAWAI KESIHATAN, ELAK PENYAKIT

SUBANG: Mangsa banjir diminta mengikut arahan dan nasihat pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat pemindahan bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit berbahaya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramanian berkata berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) kementerian, semua pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan akan memberi khidmat nasihat dari segi makanan, minuman serta memastikan persekitaran terjamin.

Katanya kementerian menugaskan seorang pegawai kesihatan di setiap pusat pemindahan yang menempatkan 1,000 mangsa.

"Pegawai kesihatan yang bertugas akan melawat pusat itu (pusat pemindahan)tiap-tiap hari. Dari segi kesihatan, kami sudah bersedia dengan SOP dan protokol bag memastikan kami mencegah penularan wabak ketika banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian dana RM500,000 oleh Yayasan Sime Darby untuk program pembedahan epilepsi di Pusat Perubatan Ara Damansara (PPAD) di sini, Selasa.

Sumber: mStar Online

Tuesday, December 10, 2013

MANGSA BANJIR DI BEBERAPA NEGERI BERKURANGAN

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di beberapa negeri semakin berkurangan, termasuk di Terengganu yang kini menurun kepada 14,609 orang berbanding 15,876 orang pada Isnin.

Di TERENGGANU, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu kini berada di bawah paras amaran.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebanyak 1,260 mangsa pulang ke rumah masing-masing dan di Kuala Terengganu tiada lagi mangsa di pusat pemindahan.

Di Dungun, 1,251 orang daripada 335 keluarga mangsa banjir masih berada di tiga pusat pemindahan berbanding 2,512 petang Isnin, dan di Marang masih kekal 23 mangsa.

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Kemaman tidak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 13,335 orang daripada 2,852 keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri itu berkurangan kepada 31,093 berbanding 32,189 orang petang tadi, dan hanya satu jalan utama yang masih ditutup kepada laluan iaitu Jalan Jerantut-Kuala Lipis.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa daripada 9,476 keluarga itu ditempatkan di 132 pusat pemindahan. "Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 24,998 orang di 34 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini malam Isnin.

Di Pekan, terdapat 3,437 mangsa di 34 pusat pemindahan, (Temerloh 1,007 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (885 di 17 pusat), Jerantut (433 di 10 pusat), Bera (237 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).

Di JOHOR, tujuh pusat pemindahan banjir masih dibuka di Segamat, namun jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurangan kepada 303 orang daripada 72 keluarga, berbanding 449 orang daripada 114 keluarga petang Isnin.

Sementara itu pusat pemindahan di Balai Raya Linau Kechil, Batu Pahat dan Balai Raya Parit Stan, Pontian yang dibuka pagi tadi ditutup apabila kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang. -BERNAMA

Sumber: mStar Online