DAKWAT KEKAL: MASIH ADA
PEMILIH KELIRU CARA PENGGUNAAN
KUALA LUMPUR, 20 Feb — Dalam bahang pilihan raya umum ke-13, yang akan
diadakan bila-bila masa sahaja, masih ramai rakyat Malaysia keliru dengan
maksud penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan buat pertama kali. Pemilih
berdaftar yang ditemui penulis secara rambang umumnya menyangka dakwat kekal
adalah suatu alat yang akan digunakan bagi menanda kertas undi pada hari
pengundian nanti.
Antaranya seorang penjawat awam, Khairunila Khalid, 50, berkata beliau
berpendapat penggunaan dakwat kekal itu merujuk dakwat pen yang akan digunakan
untuk menanda kertas undi berbanding pensil yang digunakan sebelum ini.
Berkongsi pandangan sama, seorang eksekutif perhubungan pelanggan, Noor Ain
Isaak, 26, yang akan mengundi buat pertama kali: "Saya ingat dakwat kekal
ini digunakan untuk menanda kertas undi supaya undi itu tidak boleh
diubah."
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika
ditemui Bernama baru-baru ini menjelaskan penggunaan dakwat kekal merujuk
calitan di atas jari telunjuk tangan kiri pengundi, yang tanpa calitan dakwat
berkenaan kertas undi tidak dikeluarkan kepadanya.
Beliau menegaskan pengunaan dakwat kekal adalah satu langkah mengelakkan
pengundian berulang seperti yang didakwa sesetengah pihak, bertujuan
meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan proses pengundian.
"Sebelum ini banyak tohmahan dan fitnah terhadap SPR mendakwa ada
pengundi Malaysia mengundi lebih daripada sekali walaupun selama ini tidak
pernah dibuktikan.
"Bagaimanapun, SPR ambil tindakan atas syor Jawatankuasa Pilihan
Khas Parlimen (Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya) untuk gunakan dakwat
kekal ini dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi dikeluarkan,"
katanya.
Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 selaras dengan penguatkuasaan
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang
diwartakan Februari tahun lepas.
Abdul Aziz menegaskan setiap pengundi berdaftar yang mahu mengundi mesti
dicalit dakwat kekal sebelum kertas undi diberikan kepada mereka termasuk
pengundi awal tetapi tidak melibatkan pengundi pos.
"Kalau tiada jari telunjuk, ada cara lain. Yang penting ada tanda
dakwat kekal. Bila dah calit barulah namanya diteriak dan kertas undi
diberikan. Kalau kata tak mahu calit, beri macam-macam hujah pun kita tak akan
beri kertas undi," katanya.
Mengulas perkara itu, beliau berkata seseorang pengundi yang masuk ke
pusat mengundi mestilah menunjukkan jari-jari tangan yang bersih kepada kerani
pengundian bertugas terlebih dahulu sebelum menyerahkan kad pengenalan, dan
namanya disebut untuk membolehkan kertas undi dikeluarkan.
"Inilah kali pertama penggunaan dakwat kekal. Kita harap tiada
masalah. Kita dah buat latihan dan ia tak makan masa lama kerana dakwat kekal
ini cepat kering," katanya.
Menurut poster SPR, tatacara mencalit dakwat kekal adalah seperti berikut:
* Dakwat kekal dicalitkan pada jari telunjuk kiri pengundi, atau
* Mana-mana jari kiri jika tiada jari telunjuk kiri
* Jari telunjuk kanan jika tiada mana-mana jari kiri
* Mana-mana jari kanan jika tiada jari telunjuk kanan, atau
* Dicalit pada hujung lengan kiri jika tiada mana-mana jari.
Memandangkan terdapat dua jenis pengundi iaitu pengundi awal dan pengundi
biasa, Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan dua jenis dakwat yang berbeza
daripada aspek ketahanannya.
"Bagi pengundi awal, dakwat akan tahan lebih lama. Kita tak mahu
tuduhan kata orang yang sama ini akan mengundi lagi sebagai pengundi biasa.
Untuk undi biasa, kita ada dakwat kekal berlainan warna.
"Dakwat kekal ini tidak boleh ditiru. SPR akan edarkan ke
pusat-pusat pengundian sekali dengan peralatannya seperti berus dan pelapik
jari berserta kertas undi dan kotak kertas undi pada petang hari sebelum
mengundi," jelasnya.
Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat itu bukan sahaja mendapat kelulusan
Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak menjejaskan
kesihatan atau mempunyai kesan sampingan, malah turut mendapat kelulusan
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Jan 2012 memutuskan penggunaan
dakwat kekal pada pilihan raya umum adalah harus dan dibenarkan berdasarkan
tiga kriteria iaitu dakwat itu tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh
menyerap air.
Penggunaan dakwat kekal pernah dicadang untuk digunakan pada pilihan raya
umum ke-12 pada Mac 2008 tetapi dibatalkan atas nasihat perundangan serta aspek
ketenteraman dan keselamatan awam. — Bernama/ The Malaysian Insider