Beberapa senator Malaysia yang dengan
keras menolak campur tangan asing dalam urusan demokrasi Malaysia, hari ini
tampil mempersoal niat sebenar senator dari Australia Nick Xenophon yang
kononnya cuba hendak memastikan pilihan raya umum ke-13 bersih dan telus.
Mereka berpendapat, Malaysia tidak
memerlukan individu asing atau pihak luar yang cuba memandai-mandai mengajar
kerana Malaysia telah dikenali dunia sebagai antara negara yang mengamalkan
sistem demokrasi terbaik dan teruji sejak merdeka.
Senator Datuk Boon Som Inong berkata, hasil amalan demokrasi raja berperlembagaan jugalah Malaysia dikenali dunia
sebagai negara yang aman dan stabil politiknya serta menikmati kadar
pertumbuhan ekonomi yang baik dan pembangunan pesat.
"Siapalah dia (Xenophon) hendak
mengajar kita? Masyarakat majmuk Malaysia sudah hidup bersama dalam aman damai
dan saling menghormati antara satu sama lain sejak sekian lama, jadi tidak
perlulah senator Australia ini untuk menunjuk pandai.
"Senator kita sendiri tidak
pernah campur tangan dalam urusan dalaman negara lain kerana kita sedar setiap
negara mempunyai acuan demokrasi unik dan tersendiri. Kita juga tidak mahu
orang luar cuba mempersoalkan kedaulatan kita," katanya kepada Bernama.
Boon Som mengucapkan tahniah kepada
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Alias Ahmad yang berani bertindak tegas
menghalang kemasukan Xenophon ke negara ini berdasarkan kedaulatan
undang-undang negara.
Senator Datuk Jaspal Singh pula
ketika dihubungi Bernama berkata dengan rekod campur tangan Xenophon dalam
aktiviti haram di negara ini dahulu, adalah wajar bagi rakyat Malaysia
mempersoal niat sebenar senator dari Australia itu.
"Kita perlu tanya kenapa
tiba-tiba beliau mahu masuk ke Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13.
Pasti ada niat tersembunyi yang bertentangan dengan kerajaan kita atau yang
berkepentingan kepada pembangkang.
"Ini berdasarkan pelbagai dalih
yang dilapor disebutkannya dalam media massa termasuk hendak menemui ketua
pembangkang dan kononnya juga hendak berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya. Lagipun
dia tidak mewakili kerajaan Australia tetapi atas dasar individu,"
katanya.
Jaspal juga bangga dengan tindakan tegas
Alias menghalang kemasukan elemen tidak diingini itu ke Malaysia kerana langkah
itu dianggapnya mencegah pihak asing menyebar maklumat jahat dan mempengaruhi
rakyat secara tidak wajar.
Beliau berkata adalah lebih baik bagi
Xenophon menumpukan perhatiannya dalam negara sendiri yang juga akan menghadapi
pilihan raya tidak lama lagi.
Presiden protem Majlis Senator
Malaysia, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah turut
menyokong tindakan Imigresen yang mengusir senator Australia yang
mungkin mempunyai niat tidak baik untuk mencampuri urusan dalaman Malaysia
termasuk proses pilihan raya.
Beliau berkata, berstatus sebagai
senator bukanlah tiket untuk mana-mana pihak melanggar undang-undang sesebuah
negara, apatah lagi negara berdaulat yang lain seperti Malaysia.
Kedatangan untuk menjadi pemerhati
pilihan raya juga perlulah atas jemputan antara kerajaan dengan kerajaan dan
bukannya atas jemputan pihak tertentu, katanya.
"Amatlah tidak wajar untuk dia
hadir dan memberikan ulasan dan mencampuri pilihan raya kita. Apabila bukan
undangan daripada kerajaan, padangan dia akan berpihak kepada siapa rakan yang
menjemputnya ketika itu.
"Kita perlu menghormati
undang-undang sesebuah negara itu. Kedatangan beliau tidak mewakili kerajaan
Australia sebaliknya atas kapasiti peribadi sebagai rakyat Australia,"
katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pula
menyifatkan tindakan senator bebas Australia itu yang cuba mencampuri urusan
politik negara ini adalah agenda yang cuba dicetus pembangkang.
"Siapa dia (Xenophon) nak masuk
campur dalam hal kita? Dia bukannya senator yang mewakili seluruh dunia, dia
hanya layak di negara (Australia) dia sahaja.
"Kalau dia benar-benar ikhlas
dia harus menggunakan saluran yang betul iaitu berjumpa dengan kepimpinan
kerajaan kita. Apakah agenda yang cuba disembunyikan oleh beliau (Xenophon)
kalau tidak bersubahat dengan pembangkang?" katanya.
Beliau yang juga Presiden Kongres
India Muslim Malaysia (Kimma) berkata pembangkang hari ini sebenarnya sudah
ketandusan isu untuk dijaja kepada rakyat dan cuba menggunakan orang luar untuk
memberi pandangan negatif tentang negara ini semata-mata bagi menarik perhatian
rakyat.
Beliau berkata Malaysia dan Australia
selama ini mempunyai hubungan yang baik dan tindakan ke atas Xenophon diharap
tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Seorang lagi Senator, Norliza Abdul
Rahim berpendapat kemasukan Xenophon ke negara ini tidak sesuai memandangkan
negara bakal menghadapi pilihan raya umum dan kedatangannya pasti akan
menimbulkan isu di kalangan ahli politik dan masyarakat.
"Saya rasa penahanan beliau
daripada memasuki negara ini memang patut kerana kita sedang bersiap sedia
untuk pilihan raya. Tetapi kalau beliau nak datang ke Malaysia selepas pilihan
raya umum, beliau amat dialu-alukan," katanya.
Ditanya mengenai keperluan campur
tangan orang luar dalam politik negara, Norliza berkata perkara sebegitu tidak
perlu kerana hanya rakyat Malaysia yang berhak memilih dan menentukan kerajaan
pilihan mereka.
"Malaysia adalah antara negara
demokrasi yang dipandang tinggi di mata dunia. Namun setiap rakyat juga
mestilah bijak membuat keputusan sendiri tanpa perlu dipengaruhi pihak luar
yang boleh kita curigai motif sebenar kedatangannya," katanya.
- Bernama/Malaysiakini
No comments:
Post a Comment