SHAH ALAM - Lebih 81 peratus pembaca akhbar The Edge mahu Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara setelah pakatan tersebut gagal membentuk kerajaan pusat selepas PRU13, 5 Mei lalu.
Bancian online The Edge melalui laman
www.theedgemalaysia.com menunjukkan setakat jam 3 petang semalam, sebanyak
12,588 mengambil bahagian dalam bancian tersebut.
Daripada jumlah itu, 10,275 undian mengatakan
sokongan supaya Anwar memenuhi janji untuk meletakkan jawatan tersebut.
Sementara itu, sebanyak 2,314 orang pula mahu Anwar
terus mengetuai pakatan pembangkang kerana berjaya memenangi lebih banyak
kerusi berbanding pilihan raya umum lalu.
Bancian ini masih berlangsung dengan soalan
berbunyi, ‘PR telah gagal menawan Putrajaya pada PRU13. Adakah Anwar perlu
meletakkan jawatan sebagai ketua?’.
Anwar dalam video ucapannya pada 17 Ogos tahun lalu
berkata beliau akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah
jika rakyat masih memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU13.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menukar
pendiriannya sebelum ini untuk bersara dari dunia politik kerana mendakwa PRU13
dipenuhi penipuan dan akan terus memperjuangkan hak rakyat menuntut pilihan
raya adil dan bersih.-Sinar
Harian