BBC SOKONG MB
SELANGOR
SHAH ALAM - Kemelut isu kenaikan gaji yang hangat
diperkatakan dianggap selesai selepas Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor
menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim.
BBC yang dihadiri oleh hampir 90 peratus ahlinya bertemu
dengan Abdul Khalid sejurus selepas berakhir sidang Dun petang kelmarin.
Pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan isu-isu
terkini terutamanya berhubung kenaikan gaji.
Bagaimanapun, pengerusinya, Azmin Ali tidak menyertai
pertemuan tersebut kerana mempunyai urusan lain.
Timbalan pengerusinya, Abd Rani Osman berkata, isu tersebut
tidak sepatutnya timbul kerana BBC sendiri sebelum ini pernah membangkitkan
mengenai cadangan kenaikan gaji.
Abd Rani yang juga Adun Meru berkata, BBC menyokong dan
tidak mempunyai sebarang masalah dengan kenaikan tersebut tetapi ia disifatkan
terlalu drastik dan sepatutnya perbincangan diadakan terlebih dahulu.
“Kita dah bertemu dan berbincang beberapa perkara antaranya
isu-isu terkini terutamanya kenaikan gaji dan kita menyokong.
“Kita tak tolak, tak minta dikaji semula kerana pernah
menyuarakan mengenai perkara itu sebelum ini malah tidak menjadi masalah
kenaikan tersebut kerana ia datang dari sumber halal. Dalam Islam sendiri tidak
menghalang menjadi jutawan sekiranya sumber itu halal,” katanya, semalam.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Azmin yang meminta Abdul
Khalid menangguhkan atau mengkaji semula, Abd Rani berkata, kenyataan itu
dibuat berdasarkan kapasiti peribadi.
Menurutnya, beliau berpendapat apa cuba disampaikan oleh
Azmin disalah tafsir.
“Mungkin niat Azmin baik tetapi disalah tafsir oleh
sesetengah pihak.
“Selepas ini sebarang kenyataan isu besar perlu dibuat
secara konsensus,” katanya.
Abd Rani berkata, Abdul Khalid akan membuat sidang media
pada Selasa atau Rabu depan untuk menjelaskan isu kenaikan gaji itu.
Timbalan pengerusi, Ng Suee Lim yang juga merupakan Adun
Sekinchan berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi menjelaskan kecelaruan yang
berlaku berikutan beberapa kenyataan berhubung perkara berkenaan.
Suee Lim berkata, BBC mengambil keputusan untuk tidak
membuat sebarang kenyataan peribadi yang boleh mengundang kontroversi.
“Kita harap semua pihak tidak akan buat sebarang kenyataan
sensasi mengenai isu ini.
“Pada saya itu pandangan peribadi Azmin sahaja,” katanya.
Sumber: Sinar Harian