PENCEROBOHAN PENGGANAS DI LAHAD DATU PENGAJARAN
BERGUNA BUAT MALAYSIA
KUALA
LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pencerobohan
pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata
kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang
betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.
Sambil
menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang keselamatan
negara, beliau berkata segala usaha akan dilakukan untuk memastikan pasukan keselamatan
diberi latihan yang sebaik mungkin, dilengkapi peralatan lebih canggih dan
sentiasa bersedia untuk menangani kejadian seperti itu.
“Saya rasa
kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia.
Komunis meletak senjata pada 1989 dan sejak itu, Malaysia dilimpahi suasana
aman dan stabil dalam tempoh yang cukup panjang.
“Kejadian
itu (serangan di Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu
menanganinya. Jadi, sekiranya kami membuat keputusan menambah perbelanjaan
untuk pertahanan dan keselamatan, janganlah rakyat mempertikaikannya pula.
“Mereka
perlu melihatnya sebagai langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan
integriti wilayah kita,” katanya dalam program ‘Conversation with the PM’
melalui TV3 malam ini.
Sambil
menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi tentang keselamatan,
kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia, perdana menteri berkata:
“Kita perlu
berusaha sedaya upaya untuk memastikan rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana
mereka berada di negara ini, berasa selamat, terjamin dan masa depan mereka
juga dipelihara oleh kerajaan.”
Pasukan
keselamatan Malaysia melancarkan ‘Operasi Daulat’ pada 5 Mac selepas pengganas
Sulu membunuh lapan anggota polis di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan
Kampung Simunul di Semporna pada 1 dan 2 Mac.
Kumpulan
pengganas itu bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan tidak mengendahkan
sikap baik kerajaan yang sedia berunding tentang penyerahan diri mereka.
Sehingga
kini, 54 pengganas terbunuh dan kira-kira 100 orang ditahan kerana disyaki
mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas bersenjata itu.
Najib
seterusnya menegaskan bahawa usaha menjamin keselamatan negara bukan sahaja
menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan dan kerajaan, tetapi juga semua
rakyat Malaysia melalui peranan masing-masing, termasuk memberi sokongan kepada
kerajaan.
Bagaimanapun,
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia memiliki kemampuan dan aset
yang mencukupi untuk melindungi keselamatannya.
“Saya rasa, untuk menangani pencerobohan
bersenjata, kita memiliki aset yang diperlukan, tapi, seperti yang saya
nyatakan tadi, peristiwa ini membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari
segi kemampuan kita, dan kita harap akan dapat merapatkan jurang ini,” kata
Najib.
Beliau
berkata memandangkan timur Sabah mempunyai lantai laut sepanjang lebih 1,000
km, maka negeri itu menghadapi “cabaran besar” dari segi keselamatan dan
sejajar dengan itu, langkah lebih ketat perlu diambil.
“Kita pastinya
perlu mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di
sana),” kata beliau.
Ketika
melawat Lahad Datu baru-baru ini, Najib mengumumkan penubuhan satu kawasan
keselamatan khas yang merentas dari Kudat ke Tawau — kira-kira sepanjang 1,400
km — untuk menjaga kedaulatan dan
keselamatan di timur Sabah.
Diminta
mengulas dakwaan media asing bahawa pengganas Sulu bertindak demikian kerana
dihasut pihak tertentu di Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya,
Najib berkata:
“Apabila
saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau memberitahu saya bahawa
pihak mereka akan memulakan siasatan. Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang
sungguh menarik iaitu mereka terdiri daripada golongan yang agak miskin.
“Sudah tentu
mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu terhadap
Malaysia dan oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat pembiayaan dari
tempat lain.
“Apa yang
disyaki itu nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat
siasatan dan bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding
jari kepada sesiapa,” katanya.
Ditanya
sama ada serangan pengganas di Lahad Datu akan menjejaskan peranan Malaysia dalam proses damai di selatan
Filipina, Perdana Menteri berkata ia merupakan dua isu berlainan kerana proses
damai itu melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro
(MILF).
Najib
berkata pengganas di Lahad Datu agak berbeza daripada MILF dan mereka membuat
tuntutan yang aneh dan tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.
“Sebab
itulah mereka menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang mendukacitakan.
Bagaimanapun, kita akan tangani perkara ini dengan cara yang kita fikir wajar,”
katanya. —Bernama/TheMalaysianInsider
KD: Biar putih tulang, jangan putih mata.. Sayangi
negara Malaysia yang bertuah ini.