PENCEROBOHAN LAHAD DATU: SANDIWARA
JAMALUL KIRAM SEKELUARGA
LABUAN — Insiden pencerobohan di Lahat
Datu dilihat tidak lebih daripada sandiwara Jamalul Kiram III yang mendakwa
dirinya sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu dan para penaja kempen beliau.
Tindakan Jamalul dan militan setianya
tidak masuk akal sedangkan Istana Malacanang sendiri mengeluarkan kenyataan
bahawa tidak ada penurunan pewaris selepas Sultan Jamalul Ikram II meninggal
dunia (1884-1936).
Kumpulan militan bersenjata seramai 234
orang yang diketuai sendiri oleh adik Jamalul yang bergelar Raja Muda
Agbimuddin Kiram mendarat di Kampung Tanduo pada 9 Februari untuk menuntut
semula Sabah sebagai sebahagian daripada Kesultanan Sulu.
Selepas Kerajaan Malaysia bertindak
untuk mengusir keluar kumpulan pengganas itu, dan selepas berpuluh-puluh
anggotanya terbunuh Jamalul yang dalam mahu menjaga air mukanya berkeras bahawa
pasukan militannya tidak akan berundur dari Lahad Datu dan mereka akan berjuang
hingga ke orang terakhir.
Sandiwara “Istana Sulu” dipanjangkan
lagi oleh polemik adiknya yang menggelarkan dirinya sebagai “Sultan Bantilan
Esmail Kiram II” dan anak perempuannya “Jacel Kiram”.
Plot sandiwara itu bertambah rumit
dengan tidak kurang enam pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu yang tidak
lagi diiktiraf.
Musuh
dalam selimut
Pemimpin tempatan (pembangkang) serta
pesimpati dengan ‘perjuangan Kesultanan Sulu’ juga dipercayai menyumbang kepada
sandiwara ini.
Sebelum pencerobohan berlaku, ada
pemimpin pembangkang Sabah yang mengakui pernah berjumpa dengan Sultan Sulu.
Bagaimanapun beliau (pemimpin
pembangkang) tidak menjelaskan apakah isu dalam perbincangan dan turut mengakui
yang beliau jumpai itu bukanlah Jamalul yang mendalangi pencerobohan itu.
Pembangkang ini selama ini cukup lantang
seperti yang dilaporkan di dada akhbar memperjuangkan hak-hak Sabah dan
memastikan kuasa autonomi ada pada Sabah.
Namun selepas insiden ini berlaku, suara
beliau (pemimpin pembangkang) yang selama ini begitu sengit tidak lagi
kedengaran.
Orang
sabah sudah menentukan takdir sabah
Sikap degil Jamalul ini diperkuatkan
lagi dengan kenyataan Presiden Filipina Benigno S. Aquino yang menyatakan
bahawa “anda tidak akan berjaya” (dalam perjuangan mereka menuntut Sabah), yang
dengan kedegilan beliau itu menyaksikan 10 anggota keselamatan Malaysia dan 62
militan terbunuh sehingga hari ini.
Kumpulan Jamalul juga tidak mengendahkan
hakikat sejarah yang penduduk Sabah telah menentukan takdir Sabah (dahulunya
North Borneo) sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Pendirian Kerajaan Filipina semasa
pembentukan Persekutuan Malaysia dapat dilihat pada akhbar ‘Philippine Daily
Inquirer’ yang telah menerbitkan ucapan terdahulu pemimpin kerajaan itu
berhubung pendiriannya terhadap Sabah.
Akhbar itu memetik laporan akhbar Manila
Times pada 25 Mac, 1963, yang memetik ucapan Senator Lorenzo Sumulong dalam
ucapan ‘privilege’ berhubung tuntutan terhadap Sabah, (difailkan oleh President
Diosdado Macapagal pada 22 Jun, 1962), menyatakan adalah lebih baik menyerahkan
kepada rakyat di Sabah sama ada mereka mahu menyertai pembentukan Malaysia atau
sebaliknya.
“Apa gunanya melibatkan diri di Borneo
Utara, jika selepas semua, walaupun jika kita berjaya memperolehnya, kita
komited kepada idea membenarkan rakyat Borneo Utara menentukan apa nasib mereka
akan datang?
“... tindakan yang lebih baik untuk
diikuti adalah untuk kerajaan kita memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), iaitu apabila Rancangan Persekutuan Malaysia dikemukakan untuk
pertimbangan PBB, bahawa kita secara sukarela melepaskan apa-apa tuntutan
kedaulatan kita di mana-mana bahagian North Borneo dalam usaha mempercepatkan
perubahan status wilayahnya daripada bukan pemerintahan sendiri kepada negeri
pemerintahan sendiri atau bebas dan bahawa kita bersetuju dengan pungutan suara
di bawah naungan PBB untukmemberi rakyat Borneo Utara peluang untuk menyatakan
dengan bebas kehendak dan hasrat mereka ...”
Tidak
arif dengan sejarah
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ,Prof Dr Shariff AK Omang berkata
pencerobohan itu tidak akan berlaku sekiranya klausa dalam pungutan suara
Suruhanjaya Cobbold difahami oleh kumpulan militan Filipina ini.
Ketiadaan pengetahuan akan hasil
pungutan suara Suruhanjaya Cobbold antara Filipina dan North Borneo berhubung
pemilikan Sabah dalam kalangan kumpulan pengganas ini membolehkan mereka
diperalatkan dan terkorban sia-sia.
Shariff berkata, rakyat dan kerajaan
haruslah sentiasa bersedia dan selaras dengan kenyataan Perdana Menteri
pencerobohan ini adalah satu panggilan “wake-up call”, untuk meningkatkan
perancangan dan strategi masa depan bagi menangani sebarang ancaman khususnya
yang melibatkan kedaulatan negara.
Berikutan pencerobohan ini, UMS
mewujudkan Pusat Kajian Strategik Sabah sebagai platform untuk memberi
pandangan, nasihat dan maklumat tentang isu dan perancangan masa depan yang
melibatkan isu keselamatan, ekonomi, sosial, sejarah, pendidikan, politik dan
yang berkaitan isu domestik negara.
“Kini kita berdepan dengan ancaman
pencerobohan yang melibatkan keselamatan, kita tidak tahu masa depan mungkin
kita akan menghadapi ancaman ekonomi dan sebagainya. Dan inilah UMS memainkan
peranan dan wujudkan pusat ini,” katanya.
Tetapi semua ini dan hakikat sejarah
tidak cukup untuk meyakinkan Jamalul dan penyokongnya yang tindakan mereka itu
umpama mencari sungai yang tiada berhulu. — Bernama /The Malaysian Insider