Walaupun hampir setengah rakyat Malaysia
menggunakan Facebook, impak kempen politik menerusi media sosial dan Internet
masih lagi terbelakang berbanding dengan kaedah tradisional lain dalam menarik
sokongan pengundi, kata penganalisis dan pemerhati politik tempatan.
Namun, di kala Malaysia menuju pilihan
raya yang dianggap paling sengit tidak lama lagi, kedua-dua Barisan Nasional
(BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersaing antara satu sama lain untuk menarik
sokongan dengan menggunakan saluran atas talian media sosial dan laman-laman
berita Internet.
Sumber dalam industri juga mendedahkan
agensi kerajaan, jabatan-jabatan dan parti BN ketika ini membeli sejumlah besar
ruang pengiklanan atas talian di kala klip video pro kerajaan dikeluarkan untuk
menyaingi bahan-bahan dan iklan pro pembangkang menjelang pilihan raya bulan
depan.
Walau bagaimanapun, penganalisis
menekankan kempen politik melalui media sosial dan internet tidak akan
mempengaruhi sokongan pengundi, khususnya masyarakat luar bandar yang lebih
mengutamakan sentuhan peribadi.
Malahan, jumlah pengundi luar bandar
antara yang penting dalam menentukan pemenang dalam pilihan raya meskipun
pengundi bandar nampak lebih kearah pembangkang PR.
“Media sosial hanya mempunyai impak
keatas masyarakat bandar tetapi tidak luar bandar. Pengundi lebih pentingkan
isu yang dekat dengan mereka,” kata penganalisis politik Universiti Utara
Malaysia (UUM) Mohd Baharudin Othman kepada The Malaysian Insider.
“Pendekatan ceramah masih yang terbaik,
kerana orang ramai lihat pemimpin dekat dengan mereka,” tambah beliau.
Terdapat kira-kira 13 juta pengguna
Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia
antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah
syarikat pemantau media sosial.
PR jauh lebih aktif di atas talian dan
dilihat telah menguasai ruang siber Malaysia dengan pelbagai laman sesawang dan
produksi video termasuk beberapa yang mengetengahkan manifesto mereka yang
dilancarkan beberapa minggu lepas.
Penganalisis politik Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut menegaskan
perkara sama dimana media sosial memainkan peranan kecil kerana pengundi mula meragui ketepatan
maklumat dalam media sosial.
“Media sosial memutar belit banyak
berita, sama seperti media arus perdana. Berita yang disampaikan tidak tepat
dan kebenarannya diragui,” kata Agus.
“Ya, media sosial memang ada pengaruh,
tapi ia tidak akan memberik kesan besar kepada Malaysia. Saya tidak rasa media
sosial akan tumbangkan kerajaan, kerana jika ia mampu sudah lama kerajaan
sekarang tumbang,” ujar beliau lagi.
Sumber dalam industri juga memberitahu,
ruang iklan turut juga dibeli di Youtube Malaysia, salah satu laman paling
ramai dilawati dengan dua juta pelawat unik sehari.
Laman perkongsian video dimiliki Google
itu juga menyaksikan sejumlah klip video berkait parti politik Malaysia, dengan
peningkatan angka produksi pro-BN masuk ke atas talian semenjak beberapa minggu
lepas.
Di antaranya menunjukkan Datuk Seri
Anwar Ibrahim memeluk seorang lelaki di dalam bilik hotel. Ketua Umum PKR itu
mengatakan klip video tersebut sebagai kempen jahat oleh musuh-musuh politiknya
dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pejuang siber
Umno yang beliau salahkan.
Terdapat beberapa lagi klip video
Youtube dengan lagu parodi mengutuk DAP, PAS dan PKR daripada gabungan PR yang
menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di parlimen dalam Pilihan Raya 2008.
“Di Amerika, mereka dapati ia sangat
sukar. Oleh sebab itu mereka cipta yang dinamakan pop-up. Rata-rata kita yang
menggunakan internet sudah dilatih mata untuk tidak melihat iklan,” kata
penganalisis politik Universiti Monash James Chin kepada The Malaysian Insider.
Bagi Chin, parti politik beralih ke
media sosial dalam mengiklankan kempen mereka tidak mengejutkan memandangkan
peranannya untuk menarik golongan pengundi muda khususnya tetapi meragui medium
tersebut mampu mempengaruhi prestasi mana-mana parti dalam pilihan raya nanti.
“Kita tahu pengundi terutamanya pengundi
muda merupakan pengundi pembangkang.
“Mereka cuba meningkatkan kempen dilaman
siber untuk menarik semula sokongan... sekarang ini saya mengesyaki orang ramai
tidak mempercayainya lagi,” kata Chin.
“Salah satu sebab terdapat banyak trafik
atas talian adalah kerana mereka berminat dengan gosip,” ujar beliau lagi.
Penganalisis telah menekankan pengundi
muda sebagai kelompok pengundi utama yang boleh menentukan kemenangan kerajaan
pusat dalam Pilihan Raya 2013.
Pengundi kali pertama membentuk jumlah
yang signifikan iaitu sebanyak 30 peratus daripada 13.3 juta pengundi. – The Malaysian
Insider
No comments:
Post a Comment