HINA
AGAMA: ORANG MUDA MAHU KERAJAAN BERTEGAS
SHAH ALAM – Pemimpin muda dalam Umno dan Pas sependapat mahu kerajaan
bertindak tegas terhadap mereka yang menghina agama kerana gejala melampau itu
semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata,
kerajaan mesti bertindak segera membendung perkara itu kerana membahayakan
kestabilan dan perpaduan negara.
"Perlu ada tindakan melalui hukuman sekatan. Ini adalah kesan
negatif langit terbuka yang wajib dikawal," katanya.
Selain itu, kata Nik Abduh, mereka yang terbabit juga perlu diberi
pendidikan moral yang sempurna untuk insaf.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
pula berkata, agenda perpaduan nasional yang diusahakan oleh kerajaan Datuk
Seri Najib Tun Razak perlu melihat semua aspek secara mendalam yang berkaitan
dengan pemahaman dan menghormati adat, budaya dan agama.
"Menghormati dan memahami agama yang ada di Malaysia perlu
didedahkan di peringkat awal. Jika tidak, mereka akan mempersendakannya seperti
yang dibuat pasangan itu," kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
Exco Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin berkata, kerajaan tidak harus berlembut dan defensif
dalam menangani individu yang hina agama lain kerana perbuatan itu sangat
merbahaya.
"Ini bukan pertama kali dan boleh berlaku lagi jika kerajaan ambil
mudah," katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengimplementasikan undang-undang yang
ada dan jangan ambil mudah selepas mereka yang terbabit minta maaf.
"Orang bukan Islam dengan mudah mempermainkan agama Islam yang
merupakan agama rasmi negara termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Syahrin berkata, tanpa tindakan tegas, dibimbangi akan mencetuskan
kemarahan umat Islam yang mungkin akan bertindak luar jangkaan. –Sinar Harian