HARGA
AYAM MASIH TINGGI
KUANTAN - Walaupun harga ayam di negeri tertentu dilaporkan mulai turun,
namun tinjauan Utusan Malaysia di premis perniagaan sekitar daerah ini mendapati
harganya kekal tinggi seperti awal Ramadan lalu.
Tinjauan ke Pasar Peramu di sini, mendapati, ayam dijual dengan harga
sama seperti minggu lalu iaitu RM8.80 sekilogram manakala di Pasar Besar
Kuantan RM8.60 sekilogram.
Walau bagaimanapun, tinjauan ke beberapa pasar raya sekitar bandar ini
mendapati ayam dijual lebih murah iaitu antara RM7.50 hingga RM7.89 sekilogram.
Peniaga di Pasar Besar, Mustari Ali berkata, ayam seharusnya
dijadikan barang kawalan bagi mengekang kenaikan harganya terutama sepanjang
Ramadan.
"Apabila adanya kawalan seperti ini, kami juga gembira kerana tidak
memerlukan modal besar membeli ayam untuk dijual dan harganya boleh diletakkan
rendah," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan
dan Koperasi (KPDNKK) peka dengan masalah tersebut pada masa akan datang.
Sementara itu, peniaga ayam, Norizan Salleh berkata, pengguna kini
semakin bijak kerana akan bertanya harga ayam terlebih dahulu sebelum membeli.
"Jika sebelum ini ketika harga ayam murah, pengguna terus timbang
tanpa tanya harga," katanya.
Katanya, sehingga kini pembekal tidak menurunkan harga ayam menyebabkan
mereka terpaksa menjual dengan harga tinggi.
Dalam pada itu, pengguna, W. Hasni Bahiyah W. Hussain berkata,
kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah berpendapatan sederhana
sepertinya yang terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bahan makanan
berkenaan.
"Sebelum ini beberapa peniaga mendakwa harga ayam akan turun dalam
tempoh seminggu selepas awal Ramadan tetapi sehingga kini harga ayam tetap
sama," katanya. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment