JENAYAH SIBER: ELAK
JADI MANGSA BANK PALSU
KUALA LUMPUR - Jenayah siber seperti kes penipuan
menggunakan identiti sesebuah bank melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas
(SMS) boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih berhati-hati dan peka terhadap
teknologi masa kini.
Menurut Penolong Pengurus Besar Persatuan Bank-Bank Dalam
Malaysia Joanne Wong, kes sedemikian berlaku apabila 'penipu' menghantar
kiriman e-mel, SMS dan panggilan telefon untuk meminta butiran peribadi seperti
butiran kad kredit, kata kunci, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa
dengan menyamar sebagai pihak bank.
Beliau menegaskan bahawa pihak bank tidak akan sesekali
meminta sebarang butiran perbankan peribadi melalui cara seperti itu.
Wong berkata penipuan sedemikian sukar dikenal pasti kerana
e-mel atau SMS yang diterima mangsa kelihatan benar dan seolah-olah ia dihantar
oleh institusi kewangan.
"E-mel yang dihantar oleh penipu itu kelihatan amat
meyakinkan kerana ia mengandungi logo rasmi sesebuah syarikat dan pesanan yang
dihantar menunjukkan alasan tertentu yang palsu untuk meminta kita memaklumkan
butiran peribadi dan akaun," katanya kepada Bernama.
Menghuraikan caranya, Wong berkata komplot itu mungkin
mendakwa bahawa akaun perbankan Internet atau kad kredit perlu dikemaskini atau
telah diceroboh dan dibekukan hingga memerlukan butiran peribadi serta nombor
kata laluan diberikan untuk memperbaikinya.
"E-mel atau SMS komplot penipuan tersebut biasanya akan
mengubah haluan anda ke laman web penipu itu yang seterusnya meminta anda
memasukkan butiran yang diminta," katanya.
Untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu, Wong menasihatkan
orang ramai supaya tidak mengakses sebarang pautan URL Internet dalam e-mel
atau SMS yang didakwa dihantar oleh bank.
Beliau berkata bagi mengenal pasti sebarang pautan Internet
itu benar atau palsu, alamat laman web sesebuah bank itu perlu ditaip secara
manual untuk mendaftar masuk ke akaun perbangkan Internet masing-masing.
"Kita juga perlu elak mendaftar TAC dengan menggunakan
nombor telefon bimbit pihak ketiga dan jangan melayan sebarang permintaan untuk
mendapatkan maklumat peribadi kewangan atau keselamatan masing-masing melainkan
kita telah menghubungi pihak bank terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata ketulenan laman web bank boleh diperiksa
dengan memerhati ikon berbentuk ibu kunci yang terletak di petak alamat pelayar
Internet dan jangan meneruskan sebarang aktiviti sekiranya tidak melihat ikon
sedemikian.
"Jangan mengakses maklumat perbankan anda di kafe siber
atau kawasan-kawasan wifi umum, gunakan pelayar Internet versi terkini kerana
ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan
dan pastikan perisian antivirus dan sekuriti anda sentiasa
dikemaskini," katanya.
Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia
(LKPJM) Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya yang mendakwa turut menerima
kiriman e-mel sedemikian, berkata kes penipuan itu dapat dielakkan sekiranya
setiap individu mengamalkan sikap berjaga-jaga dan meneliti terlebih dahulu
setiap e-mel yang diterima.
"Saya juga telah menerima beberapa e-mel seperti itu
baru-baru ini, tetapi saya telah abaikannya kerana tahu e-mel itu palsu dan
saya harap orang ramai perlu abaikan e-mel sedemikian.
"Jangan akses sebarang pautan Internet dalam e-mel yang
didakwa dihantar oleh bank dan hubungi pihak bank untuk mengenal pasti,"
katanya.
Saharuddin berkata isu penipuan itu dilihat semakin
berleluasa apabila pihaknya menerima 300 aduan membabitkan kerugian lebih RM1
juta dengan menggunaan identiti bank tempatan, sejak Januari hingga Jun lepas.
Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian membabit jenayah siber
di negara ini pada tahun lalu ialah RM1.6 bilion yang meningkat RM1.1 bilion
berbanding pada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, Saharuddin meminta pihak berkuasa memantau
dan membanteras sindiket penipuan itu bagi mengelak ia berleluasa dan lebih
ramai yang menjadi mangsa. – Bernama
Sumber: Sinar Harian