Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Thursday, October 3, 2013

PERKASA PERUNDANGAN UNTUK PERANGI JENAYAH BERAT 

Malaysia memerlukan 'senjata' atau mekanisme perundangan yang kuat dan kukuh untuk memerangi jenayah terancang dan jenayah berat.


Rozman Isli selaku Ahli Parlimen BN-Labuan menegaskan, aktiviti sedemikian sinonim dengan organisasi jenayah besar dan berpengaruh seperti Mafia, Yakuza atau kongsi gelap yang kuat dari aspek keanggotaan, ekonomi dan pengaruh hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Berita Harian

Wednesday, September 11, 2013

PENDATANG HARAM RASUAH BESAR NEGARA

SHAH ALAM - Gejala rasuah terbesar negara adalah melibatkan kemasukan pendatang asing yang memasuki negara secara haram.

 Zaman KhanMenurut Tan Sri Zaman Khan, gejala pendatang asing tiada kesudahan dalam agensi keselamatan negara.

“Kita bukan bercakap tentang pegawai tidak bagus atau undang-undang yang tidak bagus, saya rasa ini semua persekitaran kita. Tidak boleh salahkan polis sahaja, lihat isu pendatang haram yang merupakan punca rasuah terbesar.

“Kenapa kita tidak betulkan, ada masanya ada tindakan, ada masanya tidak, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana Sinar Harian siri ke-23, ‘Polis Hilang Sengat: Apa Selepas EO’ yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

Kata beliau, tindakan tegas bagi membanteras gejala rasuah perlu diambil serius kerajaan.

“Bukan sahaja polis, tapi semua terlibat, jadi kalau polis tahan jadi orang cakap polis makan duit. Jadi saya rasa ini satu perkara yang perlu dibanteras,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Akhbar Satar yang bertindak sebagai moderator berkata, tindakan tegas perlu diterapkan dalam operasi terutamanya di sempadan negara.

“Saya setuju kerana jangan mengharapkan sahaja kepada polis, tetapi juga  Imigresen, Kastam, terutamanya melibatkan isu senjata api, tapi yang terlepas itu satu perkara yang tidak baik. Ini yang berlaku di sempadan contohnya di Sungai Golok, pegawai Imigresen hanya tanya awak bawa barang apa?

“Kita tidak pentingkan semak atau pemeriksaan, orang dari Sungai Golok yang selalu masuk ke Rantau Panjang sama ada bawa senjata, dadah atau sebagainya, negara kita tidak prihatin kepada keselamatan,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

Wednesday, August 21, 2013

OP CANTAS KHAS DIPERHEBAT TANGANI JENAYAH

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

PDRM dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan operasi tersebut adalah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas bagi membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam, dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah berkaitan," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, semalam, pemeriksaan melalui sekatan jalan raya telah ditumpukan di kawasan Sentul dan Wangsa Maju di ibu negara.

Di Selangor pula, operasi dijalankan di Batu Caves, Rawang, Pandan Indah, Bandar Sunway Puchong, Dengkil dan Bestari Jaya.

Katanya, sebanyak sembilan pasukan khas terdiri daripada pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pemeriksaan dijalankan itu bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara. Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis sepanjang operasi ini dijalankan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh masyarakat," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 1,551 individu dan 1,000 kenderaan diperiksa dalam Op Cantas Khas di Lembah Klang semalam.

Hasil pemeriksaan, kita telah menangkap 32 orang kerana terlibat melakukan pelbagai kesalahan jenayah manakala 76 saman terhadap pemandu turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.

Di SHAH ALAM, polis Selangor memaklumkan sebanyak 683 individu yang dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah ditahan sepanjang tiga hari Ops Khas Pencegahan Jenayah di seluruh negeri itu.

Daripada jumlah itu, 211 orang ditahan reman bagi membantu siasatan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah antaranya memiliki senjata, dadah dan lain-lain.

Di MELAKA, polis kontinjen itu memeriksa sebanyak 29 orang, namun tiada tangkapan dibuat dalam operasi di seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, operasi tersebut turut memfokuskan gerakan memburu empat suspek lelaki yang terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong pada Mac lalu.

Sementara itu, di SEREMBAN, polis menahan lapan lelaki termasuk empat yang tersenarai sebagai orang dikehendaki selepas memeriksa 491 individu dalam Op Cantas Khas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid. - Utusan Online
DUA SKUAD KHAS BANTERAS JENAYAH, DADAH
JAKARTA - Kegelisahan dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Mengakui rakyat Malaysia mempunyai asas untuk berasa bimbang, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menubuhkan dua skuad khas yang berpusat di Bukit Aman khusus memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah dan mematahkan kegiatan pengedaran dadah.

Menurut menteri berkenaan, kedua-dua skuad khas itu akan memberikan fokus khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran-saluran birokrasi kepolisian seperti kelazimannya.

"Rakyat ada asas untuk bimbang kerana kejadian tembak, membunuh berlaku hampir setiap minggu. Saya juga ada bukti peningkatan dari segi statistik (indeks) jenayah khususnya di kawasan-kawasan red spot," kata Ahmad Zahid kepada wartawan di sini hari ini.

Pada masa sama, pengenalan Op Cantas juga, jelas beliau, merupakan komitmen berterusan PDRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Op Cantas merupakan antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan di seluruh negara khususnya sejumlah kes tembak dilaporkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Justeru, Ahmad Zahid meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak skeptikal terhadap usaha-usaha membanteras jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, langkah membasmi jenayah yang dibuat termasuk melancarkan 'perang' habis-habisan terhadap penjenayah jangan sesekali dipandang ringan kerana PDRM begitu komited dan serius mewujudkan rasa kepuasan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa itu.

"Langkah-langkah yang dibuat jangan disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang merasakan kita (PDRM) telah melakukan sesuatu yang di luar batas-batas yang diizinkan.

"Inilah harga yang terpaksa dibayar apabila kumpulan yang melakukan jenayah ada di mana-mana (selepas EO dihapuskan)," tegas beliau lagi.

Melalui Op Cantas, Ahmad Zahid berkata, kesemua penjenayah yang ditahan oleh pihak berkuasa akan didakwa berlandaskan siasatan terperinci serta dibawa ke pengadilan memandangkan undang-undang pencegahan sudah dihapuskan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga mempertahankan tindakan PDRM yang terpaksa menembak mati penjenayah dalam operasi memandangkan itu langkah terakhir untuk mempertahankan nyawa.

"Jika mereka (penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain daripada mempertahankan diri. Apa yg berlaku ialah penjenayah mencabar PDRM," ujar Ahmad Zahid lagi. - Utusan Online

Monday, August 19, 2013

KES JENAYAH JALANAN: PDRM PERLU TINGKAT RISIKAN - MUSA HASSAN

Musa Hassan KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan tindakan risikan untuk mengekang kes jenayah jalanan terutama membabitkan senjata api yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Katanya semua jabatan dan peringkat dalam PDRM perlu mengukuhkan tenaga untuk meningkatkan risikan terutama di kawasan yang disyaki menjalankan kegiatan haram selain tegas dalam sebarang tindakan.

Beliau berkata keselamatan negara ketika ini agak mencabar kerana hampir setiap hari terdapat kes pembunuhan menggunakan senjata api dilaporkan dan jika tidak diatasi, boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

"Orang awam sekarang berasa tak selamat sebab hari-hari dengar berita orang kena tembak..kena bunuh, jadi ini akan jadi satu dilema kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Musa berkata jenayah jalanan meningkat kebelakangan ini perlu dibendung segera bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadap kemampuan pihak berkuasa menjaga keamanan negara. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, August 12, 2013

JENAYAH SIBER: ELAK JADI MANGSA BANK PALSU

KUALA LUMPUR - Jenayah siber seperti kes penipuan menggunakan identiti sesebuah bank melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih berhati-hati dan peka terhadap teknologi masa kini.
 
Menurut Penolong Pengurus Besar Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia Joanne Wong, kes sedemikian berlaku apabila 'penipu' menghantar kiriman e-mel, SMS dan panggilan telefon untuk meminta butiran peribadi seperti butiran kad kredit, kata kunci, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa dengan menyamar sebagai pihak bank.

Beliau menegaskan bahawa pihak bank tidak akan sesekali meminta sebarang butiran perbankan peribadi melalui cara seperti itu.

Wong berkata penipuan sedemikian sukar dikenal pasti kerana e-mel atau SMS yang diterima mangsa kelihatan benar dan seolah-olah ia dihantar oleh institusi kewangan.

"E-mel yang dihantar oleh penipu itu kelihatan amat meyakinkan kerana ia mengandungi logo rasmi sesebuah syarikat dan pesanan yang dihantar menunjukkan alasan tertentu yang palsu untuk meminta kita memaklumkan butiran peribadi dan akaun," katanya kepada Bernama.

Menghuraikan caranya, Wong berkata komplot itu mungkin mendakwa bahawa akaun perbankan Internet atau kad kredit perlu dikemaskini atau telah diceroboh dan dibekukan hingga memerlukan butiran peribadi serta nombor kata laluan diberikan untuk memperbaikinya.

"E-mel atau SMS komplot penipuan tersebut biasanya akan mengubah haluan anda ke laman web penipu itu yang seterusnya meminta anda memasukkan butiran yang diminta," katanya.

Untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu, Wong menasihatkan orang ramai supaya tidak mengakses sebarang pautan URL Internet dalam e-mel atau SMS yang didakwa dihantar oleh bank.

Beliau berkata bagi mengenal pasti sebarang pautan Internet itu benar atau palsu, alamat laman web sesebuah bank itu perlu ditaip secara manual untuk mendaftar masuk ke akaun perbangkan Internet masing-masing.

"Kita juga perlu elak mendaftar TAC dengan menggunakan nombor telefon bimbit pihak ketiga dan jangan melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat peribadi kewangan atau keselamatan masing-masing melainkan kita telah menghubungi pihak bank terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata ketulenan laman web bank boleh diperiksa dengan memerhati ikon berbentuk ibu kunci yang terletak di petak alamat pelayar Internet dan jangan meneruskan sebarang aktiviti sekiranya tidak melihat ikon sedemikian.

"Jangan mengakses maklumat perbankan anda di kafe siber atau kawasan-kawasan wifi umum, gunakan pelayar Internet versi terkini kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan  dan pastikan perisian antivirus dan sekuriti anda sentiasa dikemaskini," katanya.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya yang mendakwa turut menerima kiriman e-mel sedemikian, berkata kes penipuan itu dapat dielakkan sekiranya setiap individu mengamalkan sikap berjaga-jaga dan meneliti terlebih dahulu setiap e-mel yang diterima.

"Saya juga telah menerima beberapa e-mel seperti itu baru-baru ini, tetapi saya telah abaikannya kerana tahu e-mel itu palsu dan saya harap orang ramai perlu abaikan e-mel sedemikian.

"Jangan akses sebarang pautan Internet dalam e-mel yang didakwa dihantar oleh bank dan hubungi pihak bank untuk mengenal pasti," katanya.

Saharuddin berkata isu penipuan itu dilihat semakin berleluasa apabila pihaknya menerima 300 aduan membabitkan kerugian lebih RM1 juta dengan menggunaan identiti bank tempatan, sejak Januari hingga Jun lepas.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian membabit jenayah siber di negara ini pada tahun lalu ialah RM1.6 bilion yang meningkat RM1.1 bilion berbanding pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, Saharuddin meminta pihak berkuasa memantau dan membanteras sindiket penipuan itu bagi mengelak ia berleluasa dan lebih ramai yang menjadi mangsa. – Bernama


Sumber: Sinar Harian