AHLI PARLIMEN BOIKOT ANGKAT SUMPAH AKAN DIGUGURKAN
KUALA LUMPUR —
Wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) akan digugurkan sebagai wakil rakyat sekiranya
mereka memboikot proses mengangkat sumpah, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia memberi amaran hari ini.
“Kalau ahli
Yang Berhormat tidak angkat sumpah, ikut Perlembagaan, selama enam bulan maka
secara automatik gugur sebagai ahli Parlimen,” katanya.
Jelasnya lagi,
atas semangat demokrasi juga, speaker dan timbalan speaker berhak memboikot
upacara mengangkat sumpah wakil rakyat PR.
“Tidak boleh
angkat sumpah hari lain ... kecuali tidak datang atas sebab kesihatan yang tak
boleh dielakkan,” kata Pandikar lagi.
“Apabila kita
angkat sumpah baru kita jalankan fungsi sebgai wakil rakyat,” katanya, dan
menambah, bagi mereka yang sengaja tidak hadir untuk memboikot, beliau tidak
nampak logiknya tindakan berkenaan.
Sesi taklimat
pertama ahli-ahli Parlimen hari ini menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen
yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang,
ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli
Parlimen PR.
Er, ketika
ditemui pemberita berkata sesi taklimat adalah perkara yang penting dan
kehadiran beliau hari ini adalah atas inisiatif sendiri.
“Hari taklimat
adalah yang penting, kita nak tengok ada peraturan baru atau sebagainya,”
katanya kepada pemberita.
Ditanya sama
ada beliau akan menghadirkan diri pada upacara mengangkat sumpah pada 24 Jun
ini, Er berkata, sekiranya tiada arahan daripada kepimpinan DAP Pusat supaya
memboikot upacara berkenaan, jadi beliau akan turut hadir.
“Itu saya akan
hadir ... tapi kena tanya Pusat dulu,” tambahnya.
Pandikar
ketika sidang medianya juga berkata, mana-mana anggota Parlimen yang tidak
melaksanakan upacara mengangkat sumpah juga tidak akan dibenarkan berada di
dalam Parlimen.
“Kalau tak
angkat sumpah tak boleh berada dalam Parlimen ... Mereka harus angkat sumpah
pada hari pertama, kalau tidak datang dia hina Parlimen, sistem demokrasi,”
kata Pandikar memberi amaran.