BOIKOT PARLIMEN: PEMBANGKANG TUNJUK BELANG
KUALA LUMPUR: Pakatan
pembangkang yang menang 89 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) bulan lalu, mula menunjukkan belang apabila memboikot sesi taklimat
Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, semalam.
Dalam sesi
taklimat bermula jam 9.30 pagi itu, hanya Ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck
Hwa, hadir. Bagaimanapun, Teck Hwa mungkin dikenakan tindakan disiplin kerana
melanggar keputusan memboikot sesi itu.
Ketua Whip
DAP, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata Teck Hwa
diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya
melanggar prinsip bersama pakatan pembangkang memboikot majlis itu sebelum
dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin parti.
Teck Hwa
ketika ditemui di bangunan Parlimen menjelaskan beliau hadir pada sesi taklimat
itu bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berhubung sidang baru
Parlimen.
“Walaupun
pembangkang memboikot sesi taklimat ini, saya hadir sebagai wakil rakyat kerana
taklimat ini penting untuk mengetahui garis panduan baru serta mempelajari
peraturan yang perlu diikuti,” katanya.
Sementara itu,
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad mengakui Ahli Parlimen parti itu memboikot sesi taklimat berkenaan,
tetapi akan hadir pada majlis angkat sumpah 24 Jun ini.
Yang Dipertua
Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sidang media selepas merasmikan
majlis taklimat itu, berkata tindakan pembangkang menyulitkan usaha pihak
pentadbir Parlimen untuk memberi penerangan dan mendapatkan butiran peribadi.
“Kalau mereka
menghormati Parlimen, institusi di mana mereka bekerja dan bertanggungjawab,
mereka harus datang,” katanya yang enggan membuat spekulasi kemungkinan
pembangkang akan turut memboikot majlis angkat sumpah.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan wakil
rakyat pembangkang itu menggambarkan mereka tidak layak menjadi Ahli Parlimen.
Malah, beliau
menyifatkan mereka sebagai pemimpin tidak beradab pada rakyat, pecah amanah dan
tidak bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan pada PRU-13.
“Sifat orang
munafik ialah apabila bercakap dia bohong, bila janji dia mungkir, bila dia
bercakap atau berdebat dia berlebih-lebihan, bila diberi amanah, dia pecah
amanah,” katanya.
Menteri
Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pula meminta pemimpin pembangkang tidak
mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka pada PRU-13.
“Kita perlu
hormati keputusan rakyat, ini masa untuk membangunkan negara menjadi negara
yang hebat... saya menyeru mereka sama-sama datang ke Parlimen dan bincang
apakah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen
Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut membidas tindakan pembangkang yang
disifatkannya tidak `gentleman’ kerana lebih berminat bersuara di jalanan
berbanding di Parlimen. –BHarian
No comments:
Post a Comment