TPP:
HARGA RUMAH AKAN NAIK
Harga rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan
melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang
dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.
Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar
Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara
dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan
dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.
“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang
dibuka lagi murah.
“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar)
untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah
tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak
TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.
Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu
yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri
Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal,
Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen
Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan
Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.
Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota
TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang
dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat
pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran
yang lebih besar.
“Bukan mereka tak benarkan kita
berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana
(PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah
ditolak,” katanya.
Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus
perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.
Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan
bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan
menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi
melawan manusia.
“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia
(syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?
“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan
sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di
negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.