TAK RASIONAL GAJI MB SELANGOR LEBIH TINGGI DARI PM
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Selangor menyifatkan kenaikan gaji Menteri
Besar Selangor yang baru adalah tidak rasional kerana melebihi gaji Perdana
Menteri.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kenaikan
gaji Menteri Besar Selangor yang mencecah RM29,250 berbanding gaji lamanya RM
14,175.15 adalah tidak rasional.
"Kepentingan rakyat perlu diutamakan memandangkan ketidaktentuan
ekonomi negara yg tidak menentu. Saya juga melihat kenaikan ini sangat melampau
kerana gaji Menteri Besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri sedangkan
skop tugas Menteri Besar hanya negeri semata-mata.
"Pada hemat saya, kenaikan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar,
Exco dan Adun Selangor adalah tidak wajar dan saya melihat tiada rasional
keputusan Dun Selangor meluluskan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kata beliau, kerajaan Selangor sepatutnya mendahulukan kepentingan
rakyat sekiranya, negeri tersebut mempunyai kewangan yang kukuh.
"Kerajaan Selangor belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh
negeri dan masih ada kawasan belum dimajukan dan ada di kalangan rakyat
Selangor hidup menderita.
"Kerajaan negeri mendabik dada seolah-olah sudah memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat walhal cukai pintu naik, pengangguran masih
tinggi dan infrastruktur masih belum sempurna. Saya sendiri mengalami di
Parlimen Kuala Selangor apabila mendengar rintihan rakyat," katanya.
Sumber: Sinar Harian