BN KENA MULAKAN KERJA HADAPI PRU14
KUALA LUMPUR -
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin BN segera
memulakan gerak kerja untuk memastikan pencapaian lebih cemerlang pada pilihan
raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
"Tempoh
lima tahun bukan satu tempoh yang panjang untuk menentukan pencapaian yang
lebih besar (dan) kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan
esok.
"Ada
orang kata kita baru habis pilihan raya, (jadi) kita penat, saya pun
penat...tapi selepas satu tempoh di mana berehat sudah habis, maka tugas dan
tanggungkawab kita sudah ada tersedia di hadapan kita," katanya.
Muhyiddin,
yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata demikian pada majlis
kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan di Padang Kejiranan
Ayer Panas, Setapak, di sini hari ini.
Turut hadir
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan
BN Datuk Ahmad Maslan.
Muhyiddin
turut memberi jaminan bahawa segala yang dijanjikan dalam Aku Janji BN pada
PRU13, 5 Mei lepas, akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kita
akan terus bekerja (bermula) sekarang untuk menentukan mereka (rakyat) percaya
dan yakin kepada kita dan sampai waktu nak mengundi, mereka akan pilih
BN," katanya.
Beliau juga
mahu anggota Parlimen BN yang telah terpilih pada PRU13, terutama dari Wilayah
Persekutuan, menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan beliau yakin
mereka mampu melakukannya.
"Di
kawasan yang kita belum menang lagi, kita tidak harus berputus asa kerana
tanggungjawab kita di hadapan adalah amat besar sekali," katanya.
Pada PRU13, BN
kekal di kerusi Parlimen Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, serta merampas
kerusi Parlimen Titiwangsa daripada Pas.
Muhyiddin
menarik perhatian parti-parti komponen BN dan juga bahagian tertentu perlu
menyelesaikan segala masalah dalaman dengan segera selain perlu memperkukuhkan
kerjasama dengan misi untuk menawan semula kawasan-kawasanyang dirampas
pembangkang.
Dalam pada
itu, beliau berkata tindakan 89 anggota Parlimen pembangkang, yang pada asalnya
mewar-warkan akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen di Dewan
Rakyat baru-baru ini, hanyalah "permainan wayang" pakatan
pembangkang.
"...mereka
secara hakikinya menerima keputusan pilihan raya (kerana) ahli-ahli Parlimen
mereka datang ke Parlimen dan semuanya mengangkat sumpah di hadapan Speaker
(Dewan Rakyat).