ANAK
MELAYU JANGAN SIAKAN PELUANG BELAJAR
KUALA SELANGOR - Anak Melayu tidak
seharusnya mempersia-siakan peluang untuk meningkatkan kemahiran selepas gagal
dalam pelajaran kerana bidang kemahiran mampu mengubah hidup mereka menjadi
insan lebih berjaya pada masa depan.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri
Noh Omar menjelaskan, institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) cukup dekat di hati
kerana banyak membantunya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi
sehingga mampu digelar peguam sebelum melibatkan diri dalam politik.
Menurutnya, pelbagai institusi
pendidikan dibina khas untuk orang Melayu, seperti Universiti Teknologi Mara
(UiTM) yang ternyata mampu melahirkan tenaga mahir yang cukup membanggakan
negara termasuk Wan Nazri Wan Aria dengan rekaan menara jam di Mekah.
“Ternyata, produk Mara banyak memberi
peluang membantu anak Melayu, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej
Kemahiran Profesional Mara dan GiatMara yang membantu mengubah seseorang itu
menjadi pekerja mahir dalam bidang dikhususkan.
“Meskipun GiatMara menjadi institusi
paling bawah, namun itu bukan menjadi alasan kepada pelatih untuk tidak
membuktikan kemampuan diri dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap
merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Zon Utara Negeri Selangor di Dewan Dato’
Seri Haji Abu Hassan, Kompleks Umno Kuala Selangor, semalam.
Noh berkata, rakyat sewajarnya tidak
perlu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini kerana ia sudah
termaktub dalam Perlembagaan namun sedih apabila ada segelintir anak Melayu
sendiri mempersoalkan perkara itu secara umum.
“Sebab itu, kita perlu lihat dengan
lebih mendalam sejarah negara yang mana ketika sebelum merdeka, kehidupan orang
Melayu sangat mundur sehinggakan British mewujudkan Lembaga Kemajuan Kampung
dan Perusahaan (LPKP) atau Rural and Industrial Development Authority (Rida).
“Kini Rida lebih dikenali Mara berfungsi
mengubah taraf hidup orang Melayu untuk setaraf dengan bangsa lain, namun
keistimewaan itu turut dipertikaikan anak Melayu sendiri sehingga ada tuduhan
keistimewaan itu bersifat perkauman.
“Inilah suara yang tidak menghormati
Perlembagaan dan cuba mencabar hak orang Melayu sehingga mahu UiTM dibuka
kepada bukan Bumiputera. Kenapa perlu kacau UiTM sedangkan banyak lagi
institusi pengajian tinggi awam atau swasta lain?
“Jangan menggugat kemudahan pendidikan
orang Melayu yang ada di negara ini kerana kita tidak menghalang mana-mana
institusi lain untuk pengambilan pelajar bukan bumiputera,” katanya yang turut
menyampaikan sijil kepada ahli Kelab Teknologi Bumiputera (KTB). -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment