TURUN JAMIN HIMPUNAN
AMAN
SHAH ALAM - Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) memberi
jaminan perhimpunan yang akan diadakan malam esok bakal berlangsung aman.
Pengerusinya, Muhamad Azan Safar berkata, himpunan yang
berkonsepkan duduk dan bantah ini bertujuan untuk rakyat memberi mesej jelas
berhubung isu protes kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Himpunan ini juga bebas dari sebarang provokasi dan ancaman
yang menggugat kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
“Peserta himpunan juga diseru untuk membawa bendera Malaysia
tanda patriotik dan cinta kita kepada negara selain memakai pakaian tema yang
berwarna hitam,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Katanya lagi, peserta dilarang membawa poster atau sepanduk
yang mengandungi unsur provokasi dan ancaman.
Menurut beliau lagi, mana-mana ahli politik yang ingin turut serta diminta tidak
membawa ideologi politik dalam perhimpunan itu.
“Himpunan ini adalah himpunan rakyat, yang akan diraikan dan
disambut juga oleh rakyat.
“Mana-mana kumpulan termasuk ahli politik sewajarnya turun
sebagai rakyat tanpa bendera yang melambangkan parti masing-masing,” katanya.
Menurut Azan, waktu berkumpul adalah pada jam 9 malam dan
peserta dijangka bersurai secara aman setelah meraikan tahun baharu 2014.
Sumber: Sinar Harian