KOS SARA HIDUP
MENINGKAT, KERAJAAN KOMITED BANTU RAKYAT
KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia yakin kerajaan berusaha
mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berikutan
peningkatan kos sara hidup.
Pemegang Amanahnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan
melaksanakan pelbagai pendekatan bijak mengurangkan bebanan rakyat kesan
kenaikan tarif elektrik, cukai pintu serta harga barang dan perkhidmatan.
Pada masa sama katanya, perlu banyak usaha dilaksanakan bagi
mengukuhkan ekonomi negara dalam semua sektor yang secara langsung meningkatkan
pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Rapat jurang
pendapatan
Beliau berkata, usaha perlu terarah kepada merapatkan jurang
pendapatan yang terlalu besar dalam kelompok berpendapatan tinggi dan rendah
agar kenaikan kos hidup tidak dirasai semua lapisan masyarakat.
“Kita yakin usaha kerajaan memastikan syarikat konsesi lebuh
raya tidak akan mendapat keuntungan besar atau kurang munasabah menerusi
peningkatan kadar tol dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan
rendah dan sederhana.
“Kami yakin kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya
membiarkan rakyat dibebani masalah kewangan kesan peningkatan kos hidup,”
katanya di sini, semalam.
Lam Thye berkata, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat,
kerajaan perlu meneruskan agenda memperkukuh ekonomi negara, sekali gus
menyediakan lebih banyak peluang untuk meningkatkan mutu hidup rakyat.
Katanya, usaha itu sejajar komitmen kerajaan menjadikan
Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, polis perlu melipatgandakan usaha
mengurangkan lagi kes jenayah bagi membolehkan kawasan awam dan kediaman lebih
selamat untuk semua.
“Keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu kritikal di
negara ini,” katanya yang menggesa kerajaan menumpukan isu pemuliharaan dan
perlindungan alam sekitar.
No comments:
Post a Comment