Aishah, Herman Tino & Dayangku Intan |
KUALA
LUMPUR - Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan tiga orang artis atau lebih tepat
lagi penyanyi turut menjadi calon.
Mereka yang
bertanding atas tiket pembangkang dan Bebas mempunyai alasan tersendiri untuk
menjadi calon dan mewakili parti-parti berkenaan.
Namun yang
menjadi persoalan ialah sama ada golongan artis mampu memenangi hati pengundi
untuk memenangkan pula parti yang memilih mereka sebagai calon.
Bagi Prof.
Madya Dr. Ismail Sualman, pengundi kini tidak hanya memandang populariti,
tetapi mereka melihat sejauh mana artis berkenaan boleh membawa isu tempatan
dan nasional.
"Pengundi
juga mahu melihat rekod kerja mereka, sama ada mereka pernah terlibat dalam
politik walaupun sebagai pemimpin bawahan atau terlibat dalam penyelesaian
sesuatu isu. Mungkin mereka akan dipilih pengundi nanti," katanya.
Ismail
selaku pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti
Teknologi Mara berkata jika artis hanya muncul secara tiba-tiba tanpa ada latar
belakang politik, peratusan pengundi untuk memilih mereka adalah sangat kecil.
"Oleh
itu kualiti seseorang calon perlu lebih mengatasi popularitinya," tambah
beliau.
Ini kerana
tanpa kualiti yang diinginkan pengundi, seperti mempunyai karisma sebagai
seorang pemimpin dan kredibiliti, ia tidak cukup menjadikan artis sebagai calon
boleh menang, katanya.
"Sebagai
contoh Aishah (penyanyi Wan Aishah Wan Ibrahim) mempunyai ijazah Sains Politik
dari luar negara, namun ia bukan kayu pengukur tentang kemampuannya sebagai
pemimpin rakyat jika dia terpilih nanti.
"Dunia
politik akan jadi seperti dunia hiburan di mana artis-artis lebih terkenal
kerana kontroversi dan populariti berbanding kualiti mereka," katanya.
Pensyarah
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Ahmad
Atory Hussain menyifatkan tindakan parti meletakkan artis sebagai calon tidak
lebih sebagai strategi untuk menarik undi semata-mata.
Beliau
berkata, langkah itu tidak mengambil kira kemampuan serta kredibiliti calon
tersebut, dan dari satu sudut ia dilihat sebagai kelemahan parti yang tidak
mempunyai calon yang lebih berwibawa untuk diketengahkan.
"Artis-artis
yang menjadi calon dan tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki,
malah kemunculan mereka secara tiba-tiba dalam kancah politik, tidak akan
mendapat sokongan pengundi," tegasnya.
Pada masa
yang sama Ahmad Atory berkata apa juga latar belakang calon yang mahu
bertanding, yang penting ialah niat mereka sama ada mereka mahu dipilih menjadi
wakil rakyat atau sebagai pemimpin masyarakat. – BERNAMA/UTUSAN ONLINE