Showing posts with label Hudud. Show all posts
Showing posts with label Hudud. Show all posts

Monday, November 25, 2013

PAS TETAP LAKSANA HUDUD WALAU DAP BANTAH

SHAH ALAM - Pas tetap akan melaksanakan hukum Hudud di Kelantan walaupun dibantah DAP, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata rayuan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Pas tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hanya ideologinya sendiri.
                        
"Itu hak dia (Karpal) bersuara. Hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan, itu tidak ada dalam perjanjian Pakatan Rakyat, masing-masing dengan ideologi masing-masing," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Muktamar PAS ke-59 di Stadium Malawati Shah Alam di sini, hari ini.
Abdul Hadi juga berkata kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah melibatkan perkara yang dipersetujui bersama untuk dilaksanakan dan menegaskan bahawa pandangan berbeza antara mereka adalah hak masing-masing.

Media hari ini melaporkan Karpal sekali lagi berkata DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Mengulas mengenai barisan kepimpinan Pas Pusat baharu, Abdul Hadi berkata seramai sembilan orang daripadanya merupakan golongan Ulama dan selebihnya dari kalangan profesional dan aktivis

Sambil menyatakan rasa puas hati dengan pemilihan yang dijalankan, beliau berkata barisan kepimpinan itu masih mengimbangi peranan ulama dan profesional.

Mengenai keluhan anggota perwakilan Sabah dan Sarawak kerana tiada wakil dari dua negeri itu dipilih menganggotai barisan kepimpinan Pas Pusat, beliau berkata Pas akan melantik mereka untuk jawatan yang boleh memberi perhatian khusus terhadap negeri itu. – Bernama

-Sumber: Sinar Harian

Wednesday, November 20, 2013

5 KAEDAH LAKSANA HUDUD

SHAH ALAM - Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff menjelaskan bahawa terdapat lima kaedah yang sesuai untuk merealisasikan perlaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya, Jika Pas  benar-benar hendakkan hudud ini dilaksanakan,maka  penyelesaian undang-undang atau politik hendaklah dicari, maka beliau mengesyorkan lima kaedah yang boleh diguna pakai bagi merealisasikan hasrat ini.

"Saya pada awalnya tidak mahu menyentuh tentang hal ini, tetapi melihat kepada banyaknya kesan negatif kepada hukum hudud itu sendiri jika penjelasan tidak dibuat, akhirnya saya muncul memberikan pandangan.

"... ini kerana saya melihat ramai rakyat yang keliru dengan pelbagai pandangan dari pakar dan pemimpin politik yang saling bercanggah. Saya sedih dengan keadaan ini dan sebab itulah saya menyeru supaya kita berhentilah mempolitikkan hudud, sebaliknya carilah kaedah sesuai untuk membolehkan hudud ini dilaksanakan," katanya yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Menjelas perkara tersebut, lima kaedah yang disyorkan oleh beliau ialah antaranya berkaitan dengan Akta Mahkamah Syariah,meminta kebenaran daripada kerajaan pusat,membentang rang-rang undang persendirian,pinda atau mansuh bidang kuasa jenayah 1965 dan Ahli Parlimen Islam bersatu mencari penyelesian terbaik.

"Lalu, apakah kaedahnya? (untuk merealisasikan hudud) ada lima sahaja yang hendak saya katakan di sini.

"Pertama, cabar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di mahkamah untuk mendapat satu keputusan autoritatif sama ada ia sah sebagai undang-undang atau sebaliknya.

"Kedua, bagi negeri Kelantan khususnya, minta kerajaan pusat memberi kebenaran supaya Enakmen Hudud Jenayah II Kelantan 1993 dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 76(1)(c).

"...ketiga, mana-mana ahli parlimen yang hendak melaksanakan hukum ini, bentanglah rang undang-undang persendirian meminta kelulusan Parlimen untuk melaksanakan hukum ini di seluruh persekutuan atau mana-mana negeri yang dimaksudkan.

"Keempat, bentangkan usul supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dimansuhkan atau dipinda.

"... Dan yang terakhir, Pas  dan Umno yang ahli parlimennya adalah orang Islam (campur dengan ahli parlimen Islam dari Sarawak) perlu duduk semeja dan berunding untuk mencari penyelesaian terbaik kepada cara untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud ini.

"Atas hujah di ataslah, saya katakan jika semua pihak tidak bersedia untuk melakukan salah satu dari lima yang saya sebutkan, maka cukuplah dipolitikkan hukum hudud ini. Menyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini bukanlah bermaksud saya menolak hudud," katanya.

Dalam nada yang sama, Agus menegaskan beliau sama sekali tidak menyatakan bahawa beliau menolak perlaksanaan hudud sebaliknya beliau menegaskan hudud hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan daripada kerajaan pusat.

"Apabila saya menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan Pusat, beberapa rakan FB memberi pandangan balas.

"... ada yang tanpa memahami lebih lanjut menuduh saya menolak dan menentang hudud. Nauzubillah.

"Saya tidak menolak dan menentang hudud. Saya katakan, hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa kelulusan Parlimen, yakni tanpa kerjasama dari kerajaan Pusat. Itu yang saya tulis," jelasnya.

Sumber: Sinar Harian