Selamat Tahun
Baru 2013. Semoga tahun ini kita menjadi warga matang yang benar-benar merdeka
dengan identiti Malaysia yang sebenar. Tempoh setahun kehidupan pada tahun 2012
baru sahaja berlalu dan ceritanya patut menjadi panduan dalam mendepani cabaran
2013.
Di pengakhiran
2012 semalam, mungkin ramai yang merenung kembali segala azam dan sejauh mana
pencapaian kita. Ada antara azam yang tidak tercapai akan dilaksanakan pula
pada tahun 2013 atau mungkin patut dilupakan sahaja kerana tidak lagi relevan.
Pendek kata, bermulanya tanggal 1 Januari 2013, segalanya menjadi satu matlamat
jelas yang membantu pembinaan kerangka misi tahun 2013 yang lebih bermakna.
Semoga segalanya tercapai
Impian besar
untuk menjadi masyarakat kelas pertama dan dihormati adalah agenda paling jelas
setiap kali permulaan tahun baru. Di tahun yang mendatang inilah kita
mengimpikan setiap rakyat Malaysia menjadi orang pertama untuk segala perkara
yang hebat. Mengimpikan supaya ada di antara kita yang diiktiraf dunia dan
masyhur dalam bidang yang diceburi.
Hadiah nobel
Setidak-tidaknya,
menerima hadiah nobel. Bagi saya sendiri, impian supaya rakyat Malaysia dapat
menggunakan jalan raya dengan bijak sudah memadai. Kita sebenarnya mampu
membina segala kemudahan bertaraf dunia dalam masa yang singkat, tetapi kita
tidak mampu membina pemikiran rakyat bagi mengisi kekosongan jiwa negara apatah
lagi memastikan segala kemudahan berteknologi tinggi dicernakan rakyat untuk
menjadi masyarakat maju.
Proses
pembinaan pemikiran ini pastilah tidak dalam masa yang singkat. Kerangka
pembinaan ini sepatutnya sudah lama diterap bagi memastikan ianya selari dengan
pembangunan yang dilaksana. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda penting pada
setiap acara tahun baru.
Acara keramaian
Permulaan
tahun baru dewasa ini tampak semakin menyedihkan. Agenda pengisian jiwa bangsa
seakan tidak menjadi perkara utama. Permulaan tahun yang gemilang tidaklah
begitu hebat seolah-olah menampakkan tahun ini juga tiada pergerakan luar biasa
dalam pembinaan jiwa bangsa.
Skrip acara
ini sudah diulang tayang saban tahun, malah kelihatan seperti dirakam. Hanya
diubah tarikhnya sahaja. Pesta nyanyian, tarian dan percikan bunga api sudah
menjadi acara lazim yang hanya mengisi kekosongan jiwa rakyat dengan hiburan
semata.
Menghabiskan
jutaan ringgit bahkan subsidi elektrik dan subsidi petrol tetapi gagal dalam
mencipta nilai jiwa bangsa samada patriotik, rohani, intelek atau budaya.
Penyimpangan jauh ini merencatkan pembinaan jiwa bangsa dan memburukkan
kerosakan sedia ada. Mungkin sekadar menambah nilai pada industri hiburan
negara yang sememangnya sudah kurang nilainya.
Pesta hiburan
Kita mempunyai
12 bulan lagi pada 2013 untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berkerja
bermati-matian bagi mencapai matlamat. Adakah kita akan berusaha dengan lebih
hebat lagi berbanding hebatnya kita berpesta menyambut tahun baru? Seperti
tahun 2012, kita berpesta hampir sepanjang tahun dengan pelbagai acara
nyanyian, tarian dan hiburan.
Tahun itu,
pelbagai pihak sibuk menganjurkan pesta hiburan yang mesra dengan rakyat
marhain. Malah, pesta tersebut turut dipanjangkan kepada golongan suburban dan
luar bandar. Tidak cukup dengan itu, saban hari televisyen menayangkan pelbagai
drama putus cinta, perpecahan keluarga, acara nyanyian dan gosip hiburan.
Selainnya
lebih berkisar kepada politik semasa. Umum boleh melihat, tidak banyak program
yang menjurus kepada pembentukan nilai bangsa Malaysia yang maju dan hebat.
Jika adapun, acara berbentuk ilmiah dan patriotik dilihat gagal mengimbangi
gemilangnya acara hiburan.
Penerimaan
nilai-nilai intelek, inovasi, rohaniah dan patriotik di kalangan rakyat juga
tidaklah sehebat penerimaan budaya hiburan seperti k-pop. Dalam masa yang sama,
kita hanya melaungkan pelbagai cabaran dan hala tuju negara biarpun
pengisiannya dikalangan masyarakat masih kosong.
Saya merasakan
negara perlu memikirkan sesuatu yang lebih kritis dalam pembinaan generasi baru
masyarakat Malaysia. Biarlah pembinaan nilai-nilai bangsa dan pengisian jiwa
masyarakat dibuat secara berhemah dan tersusun.
Seperti mana
hebatnya acara hiburan, gahnya percikan bunga api dan indahnya tarian, saya
juga mengimpikan kelahiran generasi baru yang lengkap dengan nilai-nilai bangsa
maju dan hebat. Kelahiran semula ini bukanlah sesuatu yang dianugerahkan tetapi
terbina dari satu proses yang menciptakan.
Jiwa kosong
Justeru,
kekosongan dan kekeliruan dalam jiwa masyarakat pada masa ini perlulah diisi
segera dengan nilai-nilai positif dan gemilang. Permulaan kepada penghujung
yang gemilang sewajarnya dimulakan dengan sesuatu yang gemilang juga.
Sambutan Tahun
Baru bukanlah satu pesta yang wajar dirai sekiranya kita masih gagal pada tahun
sebelumnya. Saya merasakan, kita perlu waras dalam hal ini. Mendengar nyanyian
yang kadangkala kedengaran sumbang dan liriknya pula seolah dunia akan kiamat
apabila putus cinta adalah sesuatu yang aneh dan tidak wajar sedang kita
memikirkan cabaran besar yang menanti tahun 2013.
Menonton
tarian dengan identiti yang dicedok dari negara luar juga mencerminkan betapa
rendahnya nilai inovasi kita. Masih gagal untuk mencipta sesuatu yang mashur
dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Sudahlah gagal, kita pula yang
mengikut orang lain dan menjadikan itu kegemaran kita.
Adalah
menjengkelkan untuk melihat sekumpulan manusia hebat di atas pentas menarikan
tarian Gangnam Style selepas selesai kiraan detik 2013. Pesta hiburan ini
kemudian akan berterusan sepanjang malam di hotel-hotel bajet dan mewah, di
pusat-pusat hiburan dan di jalan raya.
Nah, di
manakah pembinaan nilainya? Soal cabaran yang menanti di tahun 2013 dan
matlamatnya di tahun 2020 seakan dipinggirkan dan ditangguhkan. Himpunan massa
sebegini sepatutnya menjadi medan terbaik kepada pihak penganjur dalam
menerapkan nilai-nilai bangsa yang hebat dan gemilang.
Jutaan manusia
sanggup berhujan dan bersesak-sesak semata-mata untuk kiraan detik 2013 tetapi
segalanya menjadi sia-sia. Mereka balik dengan jiwa yang kosong sepertimana
mereka datang dan esok masih lagi sama seperti 31 Disember 2012. Masa akan
sentiasa berdetik dan berlalu.
Kita akan
sentiasa kerugian jika masih terbuai dalam mimpi yang indah. Janganlah
memikirkan dari pandangan anda yang tahu berfikir, tetapi fikirlah untuk mereka
yang tidak tahu berfikir.
Sumber: Izham
Jaya, Sinar Harian Online
KD: Setiap peristiwa baru perlu juga mengambil pengajaran
dari peristiwa lama..