Showing posts with label 2013. Show all posts
Showing posts with label 2013. Show all posts

Friday, January 4, 2013

SAMBUTAN AMBANG 2013: 'PERANG' BN DAN PAKATAN TARIK PENGUNDI

SHAH ALAM - Malam sambutan Tahun Baru 2013 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional di dua lokasi berasingan di negeri ini dilihat dari pelbagai sudut pandang dan persepsi berbeza para pemerhati sementelah ini adalah tahun penting, tahun 'ibu segala pilihan raya'.

Di blog-blog misalnya beberapa gambar dipaparkan bagi menonjolkan program anjuran siapa yang mendapat sambutan lebih baik dan paling penting program mana yang memberi pengisian dan faedah lebih banyak kepada rakyat.

Mengambil kira kedua-dua program ini diadakan di awal tahun bakal berlansgungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), elemen politik pastinya tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti yang dianjurkan oleh kedua-dua parti politik ini.

Menurut Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Karnival Sayangi Selangor ini mencapai sasarannya untuk menarik masyarakat Malaysia terutama sekali golongan muda mengisi masa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru 2013 dengan menjalankan aktiviti berfaedah di samping mampu merapatkan hubungan kekeluargaan bersama Barisan Nasional.

"Pertamanya dari segi pengisiannya. Perkara yang kita bangunkan melibatkan penyertaan golongan muda seperti larian belia pagi itu, selepas itu, peluang pekerjaan, hari keluarga, selain itu memudahkan menyelesaikan masalah saman, pendaftaran diskaun untuk komuter, secara naturalnya pengisian kita ini memang untuk memenuhi permintaan golongan muda.

"Jadi mereka datang lah hendak rebut peluang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Ditanya bagaimana program berkenaan dapat menarik kelompok-kelompok tertentu dalam meraih sokongan politik dan sambutannya, Zin berkata, penerimaan yang ditunjukkan cukup baik dan ia suatu petanda positif.

"Kalau orang datang hendak bergaul dengan kita, apa maknanya? Kalau orang menyampah kita, orang datang tak? Sama ada mereka datang untuk sokong atau tidak tetapi sekurang-kurangnya, mereka tidak menyampah dengan kita.

"Terpulang kepada kita lah bagaimana kita hendak meyakinkan mereka tetapi saya rasa tentu lah ada 'feel good factor', betul tak?" katanya.

Zin turut membidas pihak yang membandingkan program anjuran Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sambil berkata, "mana boleh hendak bandingkan penonton Ustaz Azhar dan penonton kita?"

"Kalau hendak katakan program kita tidak ada unsur kebajikan, kita adakan program santai bersama keluarga, selepas itu beri peluang pekerjaan kepada belia, bukankah itu satu kebajikan?" katanya.

Difahamkan sekitar 100 badan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian sebagai tanda sokongan penganjuran Karnival Sayangi Selangor ini.

Sementara itu, Pakatan Rakyat pula memilih mengadakan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang dimeriahkan dengan kehadiran penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.

Majlis turut menjemput beberapa orang selebiriti tempatan seperti Aziz M Osman, Diana Amir, Abby Abadi, Kamal Adli dan Malek Noor berkongsi pengalaman penghijrahan mereka.

Program ini juga difahamkan menyasarkan golongan muda sebagai kumpulan sasaran mereka.

Difahamkan kehadiran mencecah 120,000, manakala antara aktiviti yang diadakan ialah solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah diikuti ceramah keagamaan oleh tetamu jemputan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, program Ambang 13 di bawah projek Generasi Idaman Selangor GemS kelolaan Exco Pendidikan, berjaya menyelami jiwa dan kehendak golongan belia masa kini menerusi program ilmu yang lebih berbentuk santai.

"Saya selaku Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor khususnya Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor kita harus berikan alternatif bagaimana menyambut ambang tahun baru ini dengan pengisian yang positif, membina dan membangunkan remaja belia dan juga menghindarkan mereka daripada gejala sosial.

"Pengisian kita ini bukan saja sekadar hiburan, ada sedikit hiburan. Seperti Abby Abadi, walaupun mereka ini selebriti dan artis, namun mereka boleh beri pengisian, beri pendedahan pengalaman, ketelanjuran mereka, kesilapan mereka dahulu, ini yang nak dikongsikan dengan remaja belia," ujar beliau.

Di samping itu, karnival sepanjang hari itu turut digunakan untuk memperkenalkan skim-skim di bawah kerajaan Selangor seperti ekspo pendidikan, program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Hadiah Anak Masuk Universiti dan lain-lain termasuk aktiviti konvoi untuk menarik minat kumpulan mat rempit.

Mengulas mengenai kedua-dua program anjuran Pakatan Rakyat dan BN Selangor ini, penganalisis politik , Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berpendapat, masing-masing tidak dapat lari daripada menggunakan sedikit masa yang tinggal untuk menarik sokongan pengundi terutama pengundi muda yang bilangannya semakin bertambah menerusi program yang dianjurkan.

"Macam BN kita tahu, target mereka ialah orang muda terutama sekali pengundi baru sekarang ini. Mereka merasakan pengundi muda ini mungkin akan lari kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat pula merasakan, pengundi Cina India ini mereka boleh 'pegang' berbanding pengundi Melayu yang nampak berpecah sekarang ini. Ada dan lebih banyak sekarang ini yang menyokong BN berbanding Pakatan," katanya.

Oleh itu menurut Azizuddin, Pakatan Rakyat menggunakan pendekatan keagamaan kerana kumpulan sasar mereka di Selangor adalah golongan Melayu Islam.

"Jadi mereka menggunakan pendekatan dakwah, islamiah untuk menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu untuk mengatakan 'Pakatan lebih bagus lah'. Buat ceramah agama dan sebagainya. BN buat hiburan sahaja.

"Jadi persepsi ini orang akan ingat dan dijadikan propaganda mereka untuk menarik orang menyokong Pakatan nanti," ujarnya lagi.

Lantaran itu katanya, jika ditanya strategi siapa lebih berkesan sempena sambutan Tahun Baru yang dikhususkan pada malam 31 Disember, Pakatan Rakyat katanya berhak mendapat pujian itu.

"Kalau kita lihat siapa yang lebih berjaya (dari segi menyusun strategi), memang Pakatan lah menang. Pendekatan yang lebih bersesuaian dan diterima sebab tumpu kepada Melayu, jadi sasaran mereka tercapai lah," ujar beliau.

-Rencana oleh: Salmiah Druhamad Drahsin, Sinar Harian

KD: Dunia politik, dunia penuh cabaran dan persaingan..

Wednesday, January 2, 2013

2013: INSENTIF, DASAR DAN PERISTIWA PENTING DI MALAYSIA
Tahun 2012 telah melabuhkan tirainya. Pelbagai perubahan telah dilakukan oleh kerajaan dan juga pembangkang. Berikut pelaksanaan beberapa dasar, program dan peristiwa penting yang akan berlaku tahun ini.

* Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berlangsung sebelum akhir Jun. Antara pembaharuan yang akan dilaksanakan ketika PRU13 ialah dakwat kekal. Penggunaan dakwat kekal telah diwartakan pada 13 Februari lalu. Ia sebahagian daripada 22 perkara dikemukakan oleh PSC

* Ekoran pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pelajar pusat pengajian tinggi boleh bertanding dalam PRU13

* Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan dikuatkuasakan. Ia akan dibawa kepada Kabinet bulan ini

* Akta Kebankrapan 1967 mungkin dipinda ekoran permintaan Pemuda Umno pada perhimpunan tahunan akhir November lalu

* Pembayaraan BR1M 2.0 mulai bulan depan

* Rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G mulai hari ini 

* Pelaksanaan gaji minimum di seluruh negara RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan

* Had usia persaraan sektor swasta iaitu 60 tahun, dinaikkan dari 55 tahun dikuatkuasakan mulai 1 Julai

* Insurans bas sekolah untuk 1.5 juta pelajar sekolah

* Diskaun bayaran pemprosesan pasport untuk kanak-kanak dan warga tua

* Kerajaan sedia RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, bagi persiapan program Road to Rio - Sukan Olimpik Brazil pada 2016

* Rebat tunai RM10,000 dan subsidi dua peratus kepada pengusaha bas sekolah untuk pinjaman penuh menggantikan bas sekolah lama berusia lebih 25 tahun

* Pengagihan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100

* Pembinaan 20,000 unit rumah generasi baru Felda

* Pencarum KWSP dibenar keluar RM3,000 untuk tunai haji

* Bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 25,708 pegawai dan anggota tentera

*  Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara dijangka membentangkan laporan tahun ini

* Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, yang ditubuhkan pada 1 Jun lalu, juga akan mengemukakan laporan

* Jawatankuasa Khas yang membuat kajian berhubung langkah mengenal pasti negeri-negeri layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung juga dijangka bentang laporan

* Lebih 90,000 pelajar asing di institusi pengajian tinggi diwajibkan sekurang-kurangnya menguasai bahasa Melayu untuk berkomunikasi mulai tahun depan

Sumber: Sinar Harian Online

KD: Azam tahun baru = Positif.
2013: MALAYSIA DI LANDASAN KUKUH

Muhyiddin Yassin - Tahun Baru 2013
KUALA LUMPUR - Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai negara maju hasil transformasi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka semalam, beliau berkata, selain transformasi dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kejayaan itu juga dicapai berkat perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Muhyiddin meminta rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang dikecap hari ini sebagai landasan untuk membina kejayaan lebih gemilang di hari esok.

“Sebaik sahaja fajar 2013 menyingsing, detik kiraan masa untuk kita mencapai status negara maju hanya tinggal tujuh tahun saja lagi.

“Insya-ALLAH, dengan sokongan dan dukungan seluruh rakyat, dengan doa dan keazaman kita untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan, kita akan melakar masa depan bersama yang lebih sejahtera di bumi Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, serta beberapa menteri Kabinet yang lain.

Di hadapan 130,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka, Muhyiddin mendoakan Malaysia kekal aman dengan rakyat bersatu-padu hidup dalam kemakmuran.

Beliau juga berharap Malaysia terus kekal menjadi negara yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Kita berdoa supaya 2013 akan melakar sejarah baru yang lebih cemerlang serta gemilang dan bersama kepimpinan Perdana Menteri, kita akan melayari bahtera negara maju menjelang 2020.

“Saya doakan kita terus sejahtera tanpa mengira agama dan keturunan...mengikat perjanjian untuk sama-sama menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita. - Bernama

KD: Rakyat turut sama berdoa agar kemakmuran dan kemajuan Malaysia akan terus berkekalan..

Tuesday, January 1, 2013

TAHUN 2013: TARIKH BARU, SKRIP LAMA

Selamat Tahun Baru 2013. Semoga tahun ini kita menjadi warga matang yang benar-benar merdeka dengan identiti Malaysia yang sebenar. Tempoh setahun kehidupan pada tahun 2012 baru sahaja berlalu dan ceritanya patut menjadi panduan dalam mendepani cabaran 2013.

Di pengakhiran 2012 semalam, mungkin ramai yang merenung kembali segala azam dan sejauh mana pencapaian kita. Ada antara azam yang tidak tercapai akan dilaksanakan pula pada tahun 2013 atau mungkin patut dilupakan sahaja kerana tidak lagi relevan. Pendek kata, bermulanya tanggal 1 Januari 2013, segalanya menjadi satu matlamat jelas yang membantu pembinaan kerangka misi tahun 2013 yang lebih bermakna.

Semoga segalanya tercapai

Impian besar untuk menjadi masyarakat kelas pertama dan dihormati adalah agenda paling jelas setiap kali permulaan tahun baru. Di tahun yang mendatang inilah kita mengimpikan setiap rakyat Malaysia menjadi orang pertama untuk segala perkara yang hebat. Mengimpikan supaya ada di antara kita yang diiktiraf dunia dan masyhur dalam bidang yang diceburi.

Hadiah nobel

Setidak-tidaknya, menerima hadiah nobel. Bagi saya sendiri, impian supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan bijak sudah memadai. Kita sebenarnya mampu membina segala kemudahan bertaraf dunia dalam masa yang singkat, tetapi kita tidak mampu membina pemikiran rakyat bagi mengisi kekosongan jiwa negara apatah lagi memastikan segala kemudahan berteknologi tinggi dicernakan rakyat untuk menjadi masyarakat maju.

Proses pembinaan pemikiran ini pastilah tidak dalam masa yang singkat. Kerangka pembinaan ini sepatutnya sudah lama diterap bagi memastikan ianya selari dengan pembangunan yang dilaksana. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda penting pada setiap acara tahun baru.

Acara keramaian

Permulaan tahun baru dewasa ini tampak semakin menyedihkan. Agenda pengisian jiwa bangsa seakan tidak menjadi perkara utama. Permulaan tahun yang gemilang tidaklah begitu hebat seolah-olah menampakkan tahun ini juga tiada pergerakan luar biasa dalam pembinaan jiwa bangsa.

Skrip acara ini sudah diulang tayang saban tahun, malah kelihatan seperti dirakam. Hanya diubah tarikhnya sahaja. Pesta nyanyian, tarian dan percikan bunga api sudah menjadi acara lazim yang hanya mengisi kekosongan jiwa rakyat dengan hiburan semata.

Menghabiskan jutaan ringgit bahkan subsidi elektrik dan subsidi petrol tetapi gagal dalam mencipta nilai jiwa bangsa samada patriotik, rohani, intelek atau budaya. Penyimpangan jauh ini merencatkan pembinaan jiwa bangsa dan memburukkan kerosakan sedia ada. Mungkin sekadar menambah nilai pada industri hiburan negara yang sememangnya sudah kurang nilainya.

Pesta hiburan

Kita mempunyai 12 bulan lagi pada 2013 untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berkerja bermati-matian bagi mencapai matlamat. Adakah kita akan berusaha dengan lebih hebat lagi berbanding hebatnya kita berpesta menyambut tahun baru? Seperti tahun 2012, kita berpesta hampir sepanjang tahun dengan pelbagai acara nyanyian, tarian dan hiburan.

Tahun itu, pelbagai pihak sibuk menganjurkan pesta hiburan yang mesra dengan rakyat marhain. Malah, pesta tersebut turut dipanjangkan kepada golongan suburban dan luar bandar. Tidak cukup dengan itu, saban hari televisyen menayangkan pelbagai drama putus cinta, perpecahan keluarga, acara nyanyian dan gosip hiburan.

Selainnya lebih berkisar kepada politik semasa. Umum boleh melihat, tidak banyak program yang menjurus kepada pembentukan nilai bangsa Malaysia yang maju dan hebat. Jika adapun, acara berbentuk ilmiah dan patriotik dilihat gagal mengimbangi gemilangnya acara hiburan.

Penerimaan nilai-nilai intelek, inovasi, rohaniah dan patriotik di kalangan rakyat juga tidaklah sehebat penerimaan budaya hiburan seperti k-pop. Dalam masa yang sama, kita hanya melaungkan pelbagai cabaran dan hala tuju negara biarpun pengisiannya dikalangan masyarakat masih kosong.

Saya merasakan negara perlu memikirkan sesuatu yang lebih kritis dalam pembinaan generasi baru masyarakat Malaysia. Biarlah pembinaan nilai-nilai bangsa dan pengisian jiwa masyarakat dibuat secara berhemah dan tersusun.

Seperti mana hebatnya acara hiburan, gahnya percikan bunga api dan indahnya tarian, saya juga mengimpikan kelahiran generasi baru yang lengkap dengan nilai-nilai bangsa maju dan hebat. Kelahiran semula ini bukanlah sesuatu yang dianugerahkan tetapi terbina dari satu proses yang menciptakan.

Jiwa kosong

Justeru, kekosongan dan kekeliruan dalam jiwa masyarakat pada masa ini perlulah diisi segera dengan nilai-nilai positif dan gemilang. Permulaan kepada penghujung yang gemilang sewajarnya dimulakan dengan sesuatu yang gemilang juga.

Sambutan Tahun Baru bukanlah satu pesta yang wajar dirai sekiranya kita masih gagal pada tahun sebelumnya. Saya merasakan, kita perlu waras dalam hal ini. Mendengar nyanyian yang kadangkala kedengaran sumbang dan liriknya pula seolah dunia akan kiamat apabila putus cinta adalah sesuatu yang aneh dan tidak wajar sedang kita memikirkan cabaran besar yang menanti tahun 2013.

Menonton tarian dengan identiti yang dicedok dari negara luar juga mencerminkan betapa rendahnya nilai inovasi kita. Masih gagal untuk mencipta sesuatu yang mashur dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Sudahlah gagal, kita pula yang mengikut orang lain dan menjadikan itu kegemaran kita.

Adalah menjengkelkan untuk melihat sekumpulan manusia hebat di atas pentas menarikan tarian Gangnam Style selepas selesai kiraan detik 2013. Pesta hiburan ini kemudian akan berterusan sepanjang malam di hotel-hotel bajet dan mewah, di pusat-pusat hiburan dan di jalan raya.

Nah, di manakah pembinaan nilainya? Soal cabaran yang menanti di tahun 2013 dan matlamatnya di tahun 2020 seakan dipinggirkan dan ditangguhkan. Himpunan massa sebegini sepatutnya menjadi medan terbaik kepada pihak penganjur dalam menerapkan nilai-nilai bangsa yang hebat dan gemilang.

Jutaan manusia sanggup berhujan dan bersesak-sesak semata-mata untuk kiraan detik 2013 tetapi segalanya menjadi sia-sia. Mereka balik dengan jiwa yang kosong sepertimana mereka datang dan esok masih lagi sama seperti 31 Disember 2012. Masa akan sentiasa berdetik dan berlalu.

Kita akan sentiasa kerugian jika masih terbuai dalam mimpi yang indah. Janganlah memikirkan dari pandangan anda yang tahu berfikir, tetapi fikirlah untuk mereka yang tidak tahu berfikir.

Sumber: Izham Jaya,  Sinar Harian Online

KD: Setiap peristiwa baru perlu juga mengambil pengajaran dari peristiwa lama..
SELAMAT TAHUN BARU 2013 KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA !!




KD: Rasa syukur dan bertuah berada di bumi bertuah ini..

Friday, September 7, 2012

BAJET 2013: PAS BIMBANG DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan daya saing dan daya tahan negara.

Kerisauan terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan kredit dan kewangan Malaysia.

Laporan S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan serantau yang tidak menentu.

Pemuda PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.

Tindakan berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan hutang kerajaan persekutuan meningkat 70%  dalam tempoh 5 tahun, daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.

Pemuda PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.

Apa yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak dibendung secara drastik dan holistik.

Pemuda PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian menghimpit.

Pemuda PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.

Malah, Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan oleh Perdana Menteri sekarang.

Justeru, sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat menilai kejayaan  Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, “Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!

Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber: Harakahdaily

Thursday, August 16, 2012

MENJELANG BAJET 2013: PERMINTAAN RAKYAT KEPADA PM
·       Kawal harga rumah
·       Tambah pelepasan cukai

KUALA LUMPUR: Saranan supaya kerajaan mengawal harga rumah yang terlalu tinggi adalah antara cadangan utama dikemukakan rakyat kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2013.

Satu lagi cadangan yang banyak dikemukakan ialah memberi pelepasan cukai tambahan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Dua cadangan itu merangkumi 50 peratus daripada 2,990 cadangan yang dihantar oleh 2,693 orang dalam laman web Datuk Seri Najib Razak, www.1malaysia.com.my sejak 16 hingga 29 Julai lalu.

Malah, dua cadangan berkenaan meraih 30,000 sokongan daripada keseluruhan 41,879 undi orang ramai sepanjang tempoh perbincangan mengenai bajet itu dibuka.

Sebahagian besar mereka mengeluh kenaikan harga rumah yang disifatkan amat drastik dan tidak munasabah sehingga menyukarkan rakyat memiliki kediaman sendiri dan terpaksa menanggung sewa yang mahal.

Keluhan sama turut diluahkan oleh rakyat berpendapatan sederhana yang menyifatkan mereka sebagai golongan ‘tersepit dan miskin di bandar raya’ kerana tidak mampu membeli rumah tetapi pada masa sama tidak layak menikmati insentif skim perumahan yang ditawarkan kerajaan.

Dalam konteks ini, ramai meminta kerajaan mengekang aktiviti spekulator mengaut keuntungan besar, terutama pihak yang membeli semata-mata untuk menjualnya semula pada harga lebih tinggi serta memperketatkan dasar pemilikan rumah dan hartanah oleh warga asing.

Antara cadangan yang mendapat undi sokongan tinggi ialah:

“Saya berharap kerajaan melakukan suatu mengenai kenaikan tinggi harga rumah yang mendadak bagi rakyat biasa... ramai yang terlalu sukar memiliki rumah sekarang.”

“Pantau pemaju perumahan. Rumah menjadi terlalu mahal. Enam tahun kebelakangan ini harga meningkat hampir 70 hingga 80 peratus dan berkualiti rendah. Terlalu banyak keretakan dalam tahun pertama mendudukinya. Perlu ada jawatankuasa untuk memantau.”

“Minta Datuk Seri ambil berat mengenai harga rumah yang semakin tidak masuk akal. Langkah itu mungkin membantutkan industri perumahan dan hartanah, tetapi kita harus ambil kira keperluan rakyat. Rumah adalah satu keperluan hidup.”

Dari segi pelepasan cukai, ramai mencadangkan kerajaan memberi potongan lebih besar untuk individu tanggungan, anak di bawah umur 18 tahun, ibu bapa, perubatan, penyakit kritikal, insurans dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebahagian besar mereka berpendapat kadar pelepasan cukai individu tanggungan sebanyak RM9,000 ketika ini tidak memadai, sebaliknya ada yang menyarankan ia ditingkatkan sehingga RM18,000./BHarian