KUALA
LUMPUR - Pulau Pinang tidak perlukan satu lagi jambatan atau terowong untuk
tempoh 20 tahun akan datang kerana infrastruktur yang ada hari ini sudah
memadai, kata seorang pensyarah.
Pensyarah
Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata,
cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mewujudkan terowong
bawah laut yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar dilihat tidak relevan
berdasarkan keperluan semasa.
Beliau
berkata apa jua perancangan ia perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan dan
penilaian isi padu lalu lintas oleh pakar pengangkutan.
"Saya
tidak nampak keperluan untuk membina terowong ini dalam masa 20 tahun ini sebab
Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada dan projek jambatan Pulau Pinang kedua
sudah mencukupi buat masa sekarang. Lainlah kalau satu daripada jambatan ini
runtuh," katanya kepada Bernama.
Lim
baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion
bagi menghubungkan Gurner Drive di pulau dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar
bertujuan mengurangkan kesesakan serta berpeluang menambah pendapatan negeri
itu.
Ahmad Fuzi
berkata, kalau hendak ikutkan laluan Singapura dan Johor lebih tinggi isi padu
lalu lintasnya berbanding di Pulau Pinang, dan pada pandangannya setiap pakar
pengangkutan boleh menjangkakan pertambahan kenderaan di atas jalan raya dan
akan membuat perkiraan serta menentukan masa yang sesuai untuk dibina sesuatu
terowong atau jambatan.
Projek yang
dijangka menelan belanja RM8 bilion itu merupakan janji yang sukar ditepati dan
kos buat terowong ini lebih mahal daripada jambatan, dan sudah semestinya
memerlukan campur tangan kerajaan pusat dari segi peruntukan serta akan
melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam, katanya.
Ahmad Fuzi
berkata, kos juga boleh meningkat mengikut harga pasaran mentah semasa dan
kalau tidak cukup bajet, mungkin pihak swasta akan ambil alih dan jika keadaan
ini berlaku, rakyat yang terpaksa membayar dan ini akan menimbulkan isu lain
pada masa hadapan.
Pengarah
Urusan AJM Planning and Urban Design Group Norliza Hashim turut bersetuju
dengan pandangan Ahmad Fuzi bahawa projek itu tidak relevan pada masa ini, dan
tidak menjadi satu keperluan memandangkan jambatan kedua dijangka siap
September ini.
"Banyak
lagi alternatif yang lebih efisien dan tidak menelan belanja yang tinggi
misalnya meningkatkan kapasiti jambatan Pulau Pinang seperti mengadakan laluan
kereta api atau LRT (Transit Aliran Ringan) pada satu daripada lorong jambatan
itu," katanya.
Norliza
juga mencadangkan kerajaan atau pihak swasta memajukan sistem pengangkutan air
di Pulau Pinang seperti mewujudkan teksi air yang sangat popular seperti di New
York (Amerika Syarikat), Cardiff (United Kingdom) dan Melbourne (Australia). –
Bernama/SinarHarian