Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Tuesday, December 10, 2013

SIDANG DUN P. PINANG KECOH ISU PERKAUMAN

GEORGE TOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu gerai makan diroboh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini.

Kekecohan tercetus apabila Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) mahu ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid menarik balik kenyataannya berhubung isu itu yang disifatkan sebagai rasis.

Phee mendakwa Jahara cuba menimbulkan persepsi perkauman terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mengatakan PBT hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu. 

"Saya tak kata PBT hanya ambil tindakan kepada orang Melayu. Kalau ada impression (tanggapan) macam itu saya minta maaf. Saya hanya minta keadilan, penjelasan. Peniaga terbabit bukan baru berniaga sehari, dua...sudah 20 tahun.

"Kalau mahu ambil tindakan, ambil tindakan terhadap semua...jangan pilih-pilih," kata Jahara ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan DUN di sini, Isnin.

Pertikaman lidah itu berjaya dihentikan apabila Speaker Datuk Law Choo Kiang mengarahkan Phee duduk selepas Jahara memohon maaf dan mengarahkan ketua pembangkang itu meneruskan perbahasannya.

Bagaimanapun, dewan kembali kecoh apabila Jahara mahu kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama baharu bagi Pulau Jerejak. "Adanya satu pulau di sini diberi nama baru Mazu Island. Mazu Island ini adalah Pulau Jerejak yang mana telah diberi nama baru oleh seorang pengusaha yang mempromosikannya dalam bentuk pelancongan.

"Sebuah tokong besar juga dibina tanpa kebenaran. Siapa yang meluluskan semua ini," katanya sambil menunjukkan gambar pengusaha itu bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Tindakan Jahara menunjukkan gambar itu menimbulkan rasa tidak puas hati R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima), Phee (DAP-Sungai Puyu) dan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) yang bangkit mempertikaikan tindakan itu. "Itu sudah melampau...tindakan ini menuduh seolah-olah kerajaan negeri beri kelulusan semata-mata orang itu mengenali ketua menteri. Mana ada bukti ketua menteri beri kelulusan," kata Rayer.

Jahara kemudiannya berkata beliau hanya mahu penjelasan kerajaan negeri berhubung kewujudan nama Pulau Mazu itu.

Bagaimanapun, Jahara terus-terusan diasak wakil rakyat berkenaan yang mahu beliau menjelaskan tindakannya itu.

Tindakan wakil rakyat yang tidak memberi peluang kepada Jahara untuk berbahas telah menyebabkan kesemua sepuluh wakil rakyat BN meninggalkan sidang DUN sebagai tanda protes. -BERNAMA

Sumber: mStar Online

Sunday, December 8, 2013

PULAU PINANG TETAPKAN SYARAT JUAL SEMULA RUMAH

GEORGE TOWN: Rumah di Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM400,000 dan ke bawah tidak lama lagi akan dilarang untuk dijual semula dalam tempoh masa yang tertentu tanpa persetujuan kerajaan.

Diumumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan mengenakan peraturan perumahan yang ketat mulai 1 Februari tahun depan bagi mengekang spekulasi hartanah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, rumah mampu milik yang dibeli pada harga di bawah RM400,000 di Pulau Pinang dan RM250,000 di tanah besar itu tidak boleh dijual selama lima tahun, manakala unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang berharga sehingga RM72,500 di seluruh negeri tidak boleh dijual selama 10 tahun.

Beliau berkata, pemilik unit-unit ini yang mahu menjual mereka dalam tempoh berkenaan perlu membuat rayuan kepada kerajaan negeri dahulu dan unit-unit hanya boleh dijual kepada mereka yang berkelayakan iaitu "pembeli yang disenaraikan" yang berdaftar dengan jabatan perumahan negeri.

Lim dalam satu kenyataan media pada Ahad bahawa, peraturan itu melibatkan pembelian rumah sebelum ini dan akan datang.


Sumber: mStar Online

Wednesday, November 20, 2013

PAS ANCAM TARIK DIRI DARIPADA KERAJAAN P.PINANG

PERAI - Pas Pulau Pinang akan menarik diri dan melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat campur tangan tertentu dalam hal ehwal Islam di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya menuntut supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man diberikan kuasa penuh dalam bidang tugas beliau.

Menurutnya, difahamkan ada berlaku campur tangan yang tidak wajar oleh Exco Kerajaan Negeri dalam menetapkan jawatan Ahli-ahli Majlis MAINPP, pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk sesi pemilihan akan datang.

“Ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan etika dan amat dikesali sekiranya benar.

“Selain itu, kami mahu bilangan ahli majlis yang dilantik dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ditambah kuotanya dari dua kepada empat orang,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Safira Country Club, hari ini.

Beliau berkata, kesemua sayap parti meminta Pas supaya lebih bertegas dengan kerajaan negeri bagi memastikan posisi dan peranan yang dimainkan dalam pentadbiran lebih seimbang.

“Tindakan kerajaan negeri mengadakan perbincangan sesuatu dasar mahupun polisi tanpa membabitkan Pas menampakkan kami seolah-olah seperti boneka. dan kami tidak akan mengiktiraf mana-mana individu dari luar parti yang dilantik secara politik tanpa melalui perbincangan dan persetujuan Pas negeri.

“Jika tuntutan yang dibuat tidak diambil serius maka kami akan menarik diri dan meletak jawatan atau posisi jawatan malah akan kedudukan dalam pakatan pembangkang akan dikaji semula demi menjaga maruah dan prinsip parti,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, permintaan yang disuarakan itu mewakili akar umbi ahli Pas negeri ini.

“Kami mahu Pas negeri diberi kuasa penuh untuk memilih dan melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di dua Parlimen dan enam Dun yang ditandingi Pas.

“Permintaan ini bersesuaian dengan sumbangan yang kami berikan kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.

Beliau berkata, surat-surat permohonan yang dihantar kepada kerajaan negeri tidak dijawab menyebabkan Badan Perhubungan Pas Negeri terpaksa menyuarakan permintaan itu menerusi sidang media.

“Kerajaan negeri mungkin terlalu sibuk bertemu rakyat sehingga tiada masa untuk memberi jawapan namun diharapkan menerusi cara ini (sidang media), mereka akan sedar akan permintaan yang disuarakan.

“Tuntutan ini selaras dengan slogan yang dilaungkan walaupun ia tidak dipraktikkan kerajaan negeri buat masa ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, June 18, 2013

KERAJAAN KEDAH, P.PINANG HARUS BERUNDING ISU CAJ AIR MENTAH - MUKHRIZ

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kedah bercadang mengadakan rundingan dengan Pulau Pinang berhubung cadangan untuk mengenakan caj bagi air mentah, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah cuba membincangkan isu ini, tetapi beliau percaya ia hanya di peringkat exco dan bukan di antara Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Beliau menambah adalah adil bagi kedua-dua kerajaan negeri untuk mencapai persetujuan mengenai perkara itu.

"Kita akan berunding dengan mereka dan lihat jika kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Pada Ahad, dilaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan cadangan negeri Kedah untuk mengenakan caj kepada Pulau Pinang untuk air mentah adalah "tidak masuk akal" dan sama dengan "meminta wang tanpa sebab" kerana Pulau Pinang mengambil air dari bahagiannya di Sungai Muda dan Kedah tidak mengeluarkan sebarang kos.

Sebagai tindak balas, Mukhriz berkata bekalan air telah disediakan di sebelah Pulau Pinang, tetapi kawasan tadahan air atau sumbernya berpangkalan di Kedah.

"Saya masih ingat ada kemarau sekali, dan Pulau Pinang telah menulis kepada Kedah meminta kita untuk melepaskan air dari empangan kami ke Sungai Muda untuk meningkatkan bekalan air yang semakin berkurangan.

"Surat itu sendiri merupakan pengakuan bahawa bekalan air itu sememangnya berpangkalan di Kedah," katanya. –mStar

Thursday, June 13, 2013

DAP PULAU PINANG EKSPLOITASI MELAYU, INDIA?
PULAU PINANG - Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui akhbar terbitannya, Buletin Mutiara didakwa cuba menggambarkan mereka sebagai kerajaan prihatin terhadap semua kaum dengan mengeksploitasi warga emas kaum Melayu dan India yang menerima bantuan tahunan RM100.
 
Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, penyiaran gambar yang menunjukkan warga emas kaum berkenaan yang kelihatan sangat gembira kerana menerima bantuan berkenaan hanyalah sandiwara semata-mata.

"Saya melihat Ketua Menteri, Lim Guan Eng melalui akhbar Buletin Mutiara cuma memberikan gambaran kononnya DAP menjaga kebajikan orang Melayu dan India sedangkan hakikat sebenar bukan begitu.

"Jika dihitung, dengan wang sebanyak RM100 setahun, berapa sen yang dapat digunakan sehari oleh warga emas untuk menampung perbelanjaan mereka?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas muka depan terbitan terbaharu Buletin Mutiara yang menyiarkan laporan tentang keputusan kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan berkenaan sambil memaparkan gambar warga emas kaum Melayu dan India memegang duit RM100 dalam keadaan sangat gembira.

Menurut Aminah, beliau percaya tindakan berkenaan dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik, lebih-lebih lagi syarat mendapatkan bantuan berkenaan juga menyusahkan apabila warga emas terpaksa mendaftar terlebih dahulu.

"Saya juga kasihan melihat warga emas berkenaan dipergunakan. Bagi RM100 setahun tetapi mereka canangkan dengan gahnya.

"Sekiranya benar-benar ikhlas, semua itu tidak perlu. Bagi bantuan kematian pula, hanya diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mesti mendaftar terlebih dahulu," katanya.

Jelas Aminah, dalam konteks memberikan bantuan, kerajaan Pusat secara konsisten telah melakukannya sejak dahulu lagi menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jumlah yang diberi JKM lebih banyak dan secara bulanan, malah tidak memilih bulu apabila semua kaum akan menerimanya sekiranya mereka memerlukan. Bahkan, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk menyalurkan bantuan ini kepada rakyat.

"Kalau hendak dikira bantuan, kerajaan Pusat telah melakukan yang terbaik bermula daripada bayi berada dalam perut ibu lagi tetapi tidak dicanang seperti mana kerajaan DAP Pulau Pinang buat.

"Mereka sangat bermegah-megah dengan bantuan kecil sedangkan masalah asas rakyat negeri ini seperti harga rumah yang melambung tinggi masih tidak diselesaikan," katanya.

Secara sinis, Aminah bertanya adakah hanya itu kemampuan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan rakyat selepas memasuki tahun keenam diberi mandat mentadbir negeri ini? –Utusan Online