Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Monday, June 24, 2013

PEMBANGKANG DIALU-ALU TEGUR KEPINCANGAN NEGERI KEDAH

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang teguran daripada barisan pembangkang atas pengalaman mentadbir negeri Kedah, sebelum ini.
  
Bagaimanapun, Mukhriz berkata teguran tersebut perlu berasaskan fakta dan berharap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang sepatutnya lebih memahami kesukaran mentadbir sesebuah negeri, walaupun pernah mentadbir Kedah hanya lima tahun.
  
Beliau turut berharap agar pihak pembangkang akan lebih bersifat empati terhadap kerajaan sedia ada.
  
"Tegurlah kerajaan negeri kalau ada kepincangan, sebab pihak kami tak fikir kerajaan negeri betul 100 peratus sebab mungkin ada yang terlepas pandang atau maklumat tidak sempurna.
  
"...Pengalaman ini (mentadbir negeri) sangat penting untuk meningkatkan kefahaman dua-dua pihak, dalam demokrasi penting wujud peranan semak dan imbang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Adun Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sebagai 'orang baharu' dalam Dun Kedah, Mukhriz berkata beliau belum dapat membuat perbandingan mengenai perjalanan sidang DUN, namun berharap ia tidak berlaku seperti dalam Dewan Rakyat.
  
"Kalau banding dengan Dewan Rakyat, harap tak berlaku (dalam Dun). Polemik politik terlampau dalam Dewan Rakyat, suasana agak tegang dan peraturan mesyuarat dilanggar sewenang-wenangnya," kata Mukhriz.
  
"Saya lihat nama-nama (Adun) ramai yang baru, ada juga orang lama dan rasa sidang dewan akan meriah dengan pandangan dan idea baharu. - Bernama/Sinar Harian

KD: Inilah contoh kerajaan negeri yang baik.. menitikberatkan keseimbangan dan sedia menerima pandangan orang lain.

Tuesday, June 18, 2013

KERAJAAN KEDAH, P.PINANG HARUS BERUNDING ISU CAJ AIR MENTAH - MUKHRIZ

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kedah bercadang mengadakan rundingan dengan Pulau Pinang berhubung cadangan untuk mengenakan caj bagi air mentah, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah cuba membincangkan isu ini, tetapi beliau percaya ia hanya di peringkat exco dan bukan di antara Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Beliau menambah adalah adil bagi kedua-dua kerajaan negeri untuk mencapai persetujuan mengenai perkara itu.

"Kita akan berunding dengan mereka dan lihat jika kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Pada Ahad, dilaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan cadangan negeri Kedah untuk mengenakan caj kepada Pulau Pinang untuk air mentah adalah "tidak masuk akal" dan sama dengan "meminta wang tanpa sebab" kerana Pulau Pinang mengambil air dari bahagiannya di Sungai Muda dan Kedah tidak mengeluarkan sebarang kos.

Sebagai tindak balas, Mukhriz berkata bekalan air telah disediakan di sebelah Pulau Pinang, tetapi kawasan tadahan air atau sumbernya berpangkalan di Kedah.

"Saya masih ingat ada kemarau sekali, dan Pulau Pinang telah menulis kepada Kedah meminta kita untuk melepaskan air dari empangan kami ke Sungai Muda untuk meningkatkan bekalan air yang semakin berkurangan.

"Surat itu sendiri merupakan pengakuan bahawa bekalan air itu sememangnya berpangkalan di Kedah," katanya. –mStar

Wednesday, April 24, 2013

PRU13: MASA TERBAIK UNTUK BAWA KEDAH BALIK BAWAH BN

JERLUN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masa terbaik untuk rakyat mengembalikan Kedah kepada Barisan Nasional (BN) kini tiba dengan cara mengundi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.

Beliau berkata, ia penting kerana dalam tempoh lima tahun akan datang, Kedah tidak harus ketinggalan untuk dibawa menjadi negeri maju berpendapatan tinggi di bawah BN.

"Selepas lima tahun, nampaknya sungguh malang kerana kad laporan yang dibentangkan Pas Kedah tidaklah membanggakan, saya nampak kita boleh beri markah E- (E tolak) sahaja kepada kerajaan negeri kerana gagal melaksanakan tugas untuk membangunkan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan majlis peletakan batu asas cadangan pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Pas Kedah terbukti tidak wajar dikekalkan kerana tidak mampu mentadbir negeri serta gagal membentangkan kejayaan mereka menunaikan apa yang dijanjikan sewaktu mereka hendak mengambil alih kerajaan negeri pada 2008. –UTUSAN ONLINE

Wednesday, January 23, 2013

PRU13: PELUANG BN RAMPAS SELANGOR, KEDAH

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menang dan mengambil alih Kedah dan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Kluster Etnik dan Pekerjaan di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mansor Mohd Nor berkata, bagi mencapai matlamat itu, BN harus menampilkan calon daripada kalangan muka baru terutama golongan muda yang memiliki integriti, berakhlak baik, amanah dan adil.

"Ini beri keyakinan baru kepada pengundi," katanya.

Menurutnya, PR dijangka masih kekal di Pulau Pinang dan Kelantan kerana pengundi dijangka akan guna strategi kerusi Dun masih kekal ditadbir pembangkang, manakala di kerusi Parlimen mereka memilih BN.

Katanya, melalui Kajian Sosialisasi Politik oleh Majlis Profesor Negara (MPN) sejak Mac 2012 menunjukkan rakyat pelbagai bangsa menyokong BN.

“Dakwaan PR rakyat pelbagai bangsa di negara ini menyokong mereka adalah tidak tepat. Kajian kita lakukan, Melayu, India dan Cina masih menyokong BN.

“Cina di Negeri Sembilan dan Johor menyokong BN kerana mereka tidak terikut-ikut kumpulan etnik. Rakyat bijak membuat penilaian dan pemilihan parti,” katanya.

Selain itu, kata Mansor, apa yang penting, setiap parti perlu tahu kenapa rakyat mesti mengundi mereka dan menegaskan rakyat akan pilih calon boleh bekerja dan membantu mereka.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan juga mempunyai pendapat sama dan bersetuju BN akan menang pada PRU13 nanti serta memenangi negeri Kedah dan Selangor.

Katanya, BN akan menang majoriti kerusi di Dewan Rakyat kerana faktor keadaan semasa dan masalah pentadbiran di negeri ditadbir PR. – Sinar Harian