MERSING:
Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan
ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi
tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.
Baginda turut
meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu
tidak diendahkan, seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.
"Saya
amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ianya adalah modal insan
yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak
bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka
terbunuh adalah amat tinggi. Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara
pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak
berpatutan, maka saya rasa lebih baik saya mengambil alih pembelian peralatan
tersebut," titah baginda.
Sultan Ibrahim
yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis ulang tahun
Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar di sini hari ini. Turut Timbalan
Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Penglima Tentera Darat Jen
Datuk Zulkefli Zainal Abidin.
"Dalam
usaha kerajaan mengawal bajet dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan
hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan
yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang
tinggi," titah baginda.
Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan
pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera
melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.
"...Janganlah
bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat
kali ganda," titah Sultan Ibrahim.
Baginda juga
mahu segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan kepadanya kerana baginda
sentiasa mengikuti perkembangan rejimen itu.
Kem Iskandar
titah baginda, menjadi lokasi lawatannya setiap kali mengunjungi
Mersing.-BERNAMA/MStar