Showing posts with label Kor Gerak Khas. Show all posts
Showing posts with label Kor Gerak Khas. Show all posts

Wednesday, September 12, 2012

TEGURAN SULTAN JOHOR, ZAHID PERLU BERTANGGUNGJAWAB

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang murka dengan pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, teguran itu perlu diambil tanggungjawab oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan negara ini.

"Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab, jangan pula pegawai yang dimangsakan pula di dalam kes ini.

"Teguran ini datang daripada seorang Sultan. Selama ini pihak pembangkang sudah kerap kali membuat teguran. Semua kritikan itu dibangkul sampahkan sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Ismail Ibrahim yang murka ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera. -Harakahdaily

Saturday, September 8, 2012

SULTAN JOHOR DUKACITA KELENGKAPAN KOR GERAK KHAS TIDAK BERMUTU

MERSING: Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan, seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.

"Saya amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ianya adalah modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi. Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka saya rasa lebih baik saya mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar di sini hari ini. Turut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Penglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkefli Zainal Abidin.

"Dalam usaha kerajaan mengawal bajet dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi," titah baginda. 

Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.

"...Janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim.

Baginda juga mahu segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan kepadanya kerana baginda sentiasa mengikuti perkembangan rejimen itu.

Kem Iskandar titah baginda, menjadi lokasi lawatannya setiap kali mengunjungi Mersing.-BERNAMA/MStar