KUALA
LUMPUR: Satu projek perintis untuk mendidik pelajar mengenai bahaya seks luar
nikah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum sekolah pada bulan
lepas, yang merupakan cara untuk mencegah kehamilan di kalangan gadis di bawah
16 tahun.
Pelaksanaan
itu merupakan antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu sosial yang mencatatkan lebih 6,000
kehamilan dan kelahiran yang melibatkan gadis di bawah usia 16 tahun sejak
tahun 2000.
“Berdasarkan
data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejumlah 6,820 kehamilan dan kelahiran
melibatkan gadis di bawah 16 tahun telah direkodkan antara 2000 dan 9 Oktober
2012,” kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit
Mertajam) di Parlimen.
Projek
perintis itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, mengajar murid
Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga mengenai risiko dan bahaya seks menerusi
program Kesihatan Reproduktif dan Sosial.
Program itu
berdasarkan modul Kesihatan Reproduktif Remaja oleh Persatuan Kesihatan
Reproduktif Persekutuan.
“Program
ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kokurikulum untuk Tahun Enam dan
Tingkatan Tiga selepas peperiksaan UPSR dan PMR, serta pelajar yang menjalani
peperiksaan khas di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai
September,” katanya.
Kementerian
itu berkata, terdapat 67 guru diberi latihan untuk mengajar 1,360 pelajar
mengenai bahaya dan risiko seks sebelum berkahwin semasa program itu diadakan
antara 8 dan 10 September.
KD: Pada asalnya kurang setuju
pendedahan awal sebegini dilaksanakan. Tetapi memandangkan zaman kini anak-anak
di usia remaja dan berdarah muda amat mudah tersasar dan terjebak dalam gejala
sosial terutamanya anak luar nikah dan kes buang bayi, maka mungkin langkah ini adalah satu usaha yang baik. Paling utama
subjek Pendidikan Agama Islam (juga Pendidikan Moral) perlu diutamakan kerana
pegangan agama yang utuh adalah penyelamat kepada semua masalah.