Showing posts with label perumahan. Show all posts
Showing posts with label perumahan. Show all posts

Wednesday, December 18, 2013

PERMUDAH PINJAMAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mencadangkan agar kerajaan menyediakan pinjaman perumahan berasaskan harga rumah kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini bagi memastikan kakitangan kerajaan dapat memiliki rumah sendiri dengan lebih mudah.

“Pinjaman sekarang adalah berasaskan gaji. Ini bermakna, penjawat awam tidak mendapat pinjaman penuh dan selebihnya terpaksa meminjam bank.

“Sekiranya dapat pinjaman penuh daripada kerajaan, lebih mudah. Mereka boleh bayar pinjaman itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang pencen,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tri-Tahunan Ceupacs ke-26 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan penjawat awam sebanyak RM180 sebulan dan kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus.

“Harga rumah sekarang mahal dan hampir 35 peratus kakitangan awam tidak ada rumah sendiri.

"Jadi, kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Selain itu, badan itu juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, October 18, 2012

HARGA RUMAH LEBIH MURAH

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sudah meminta Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

 “Kita boleh mengadakan perjanjian sedemikian. Kita (kerajaan) akan menyediakan jumlah tertentu bagi kos infrastruktur, dengan syarat pemaju swasta membina rumah yang lebih rendah harganya berbanding harga pasaran,” katanya.

REHDA sambut baik Najib menjawab soalan penyampai radio, Chui Ling dan Jentzen mengenai isu harga rumah, yang dikatakan mahal di Lembah Klang dalam temubual selama sejam program pagi radio ‘Morning Boss’, Melody FM di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam yang dihubungi BH mengenai perkara itu berkata, jika kerajaan boleh menampung kos keseluruhan pembinaan infrastruktur, harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus.

Beliau yang menyambut baik hasrat itu, berkata dalam kos pembinaan perumahan, 10 peratus adalah untuk pembinaan infrastruktur.

“Tapi jika sebahagian saja kos berkenaan ditanggung kerajaan, harga rumah mungkin dapat diturunkan sekitar lima hingga 10 peratus. Selain itu, lokasi sesebuah projek perumahan juga memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.

Buka pendaftaran

Perdana Menteri dalam program itu juga menjelaskan kerajaan akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 80,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kerajaan akan membuka pendaftaran bagi rumah PR1MA sebaik kawasan untuk membina rumah mampu milik dikenal pasti.

“Tetapi kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan.

“Kami akan menyediakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kos infrastruktur dan mereka boleh menjual rumah itu pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

“Jadi saya harap pemaju perumahan mendengar siaran stesen radio ini pagi ini. Datang dan berbincanglah dengan kami sama ada anda boleh menyertai dalam model kedua ini supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk orang ramai,” katanya. -BHarian

Sunday, September 9, 2012

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 'ANAKTIRIKAN' PROJEK PERUMAHAN KERAJAAN PUSAT?

NIBONG TEBAL: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang mengenakan pelbagai syarat tambahan untuk meluluskan projek perumahan kos rendah oleh tiga agensi kerajaan pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata agensi terbabit ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), JKP Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).
"Kita telah menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyatakan bahawa mulai sekarang, semua projek perumahan ketiga-tiga agensi itu hendaklah terlebih dahulu dimajukan kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata berdasarkan amalan baharu itu, setelah jawatankuasa pembangunan berpuas hati, barulah projek perumahan dirujuk kepada PBT untuk kelulusan pelan dan pemberian Sijil Kependudukan (OC).

Katanya syarat itu tidak pula dikenakan kepada syarikat pemaju swasta yang boleh terus melaksanakan projek mengikut amalan biasa, iaitu hanya memohon kepada PBT.

Zainal Abidin juga berkata jika permohonan projek perumahan kos rendah itu dimajukan kepada sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Menteri, perbincangan berhubung cadangan projek tersebut tertakluk kepada mesyuarat yang dipengerusikan beliau dan ia akan mengambil masa mungkin berbulan-bulan untuk mendapat maklum balas.

"Kita minta Lim memberi penjelasan kenapa beliau berbuat demikian, dan ia ternyata satu amalan yang menyusahkan serta melewatkan projek," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim berkata pembinaan lebih 1,000 unit rumah kos rendah agensi tersebut di seluruh negeri kini tertangguh kerana masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri.

"Kita dikenakan pelbagai syarat tambahan seperti diarah membina jalan yang tiada dalam pelan, membina sistem perparitan yang sepatutnya dibina oleh Jabatan Perparitan dan Saliran, serta pelbagai syarat lain yang remeh-temeh", katanya.

Beliau juga mendakwa Lim ternyata berniat menyusahkan projek kerajaan pusat walaupun ia untuk manfaat rakyat Pulau Pinang. - BERNAMA/MStar