Showing posts with label PR1MA. Show all posts
Showing posts with label PR1MA. Show all posts

Monday, March 11, 2013

PR1MA: PM UMUM 80,000 RUMAH MAMPU MILIK LEMBAH KLANG

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Najib berkata daripada jumlah itu, 50,000 unit rumah akan dibina di Lembah Klang menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), manakala baki 30,000 unit lagi bakal dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Ini bererti 80,000 unit kesemuanya yang akan dilaksanakan di bawah identiti rumah mampu milik," katanya ketika berucap melancarkan PR1MA Alam Damai Cheras di sini, Ahad.

Perdana Menteri memberi jaminan harga bagi setiap unit rumah yang ditawarkan di bawah projek tersebut adalah dalam lingkungan yang mampu dibeli oleh kumpulan sasar iaitu mereka yang mempunyai pendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan.

"Program untuk kategori sederhana ini perlu kerana mereka biasanya terlepas daripada program kerajaan sebelum ini...untuk golongan miskin kita ada program seperti Rumah Rakyat dan kita juga ada program untuk mereka yang tinggal di luar bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar bahawa setiap keluarga di Malaysia ingin memiliki kediaman sendiri namun kadang kala hasrat itu dibatasi oleh kemampuan kewangan.

"Impian untuk memiliki rumah ini bukan sesuatu yang tidak realistik atau tidak wajar, malah ia merupakan satu hak rakyat yang mesti dipenuhi di bumi Malaysia yang bertuah ini," katanya.

Najib berkata menyedari akan hakikat itu maka kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi impian setiap rakyat termasuk dengan menubuhkan PR1MA yang bertanggungjawab melaksanakan program Rumah Mampu Milik.

"Bila kita kaji perkara ini secara mendalam kita dapati mereka ingin memiliki rumah dan rumah itu mestilah dalam kategori mampu dimiliki oleh mereka.

"Jika terpaksa bayar ansuran bulanan terlalu tinggi meskipun jika pendapatan besar secara relatif tapi akan hadapi kesempitan daripada segi kewangan pada setiap bulan terutama hujung bulan," katanya.

Najib berkata soal beban kos hidup tidak hanya dihadapi oleh golongan miskin atau berpendapatan rendah, malah ia turut dialami oleh mereka yang berpendapatan pertengahan lebih-lebih jika hidup di bandar.

"Mereka yang menerima pendapatan RM5,000 mungkin hingga RM10,000 pun pada tiap hujung bulan akan hadapi apa yang kita sifatkan 'financially stress' (tekanan kewangan).

"Dalam erti kata lain mereka ini tidak mendapat kelebihan untuk hidup selesa pada setiap hujung bulan," katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian apabila berkata rakyat tidak seharusnya melihat pelaksanaan projek perumahan terutama oleh PR1MA sebagai projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai 'wealth creation programme' atau 'program pewujudan kekayaan'.

"Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini esok akan susut nilai, tapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini esok kita bakal untung 20 hingga 30 peratus...sebab itulah projek ini dapat sambutan yang cukup hangat," katanya.

Mengenai PR1MA Alam Damai, Najib berkata ia merupakan sesuatu yang sangat bermakna buat penduduk Bandar Tun Razak khasnya dan Wilayah Persekutuan amnya kerana ia membuktikan komitmen kerajaan untuk meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah di bandar.

Malah, Perdana Menteri berkata ia juga seiring dengan pelaksanaan Model Baharu Ekonomi yang diperkenalkan di bawah agenda transformasi negara yang menekankan beberapa prinsip termasuk pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara secara sama rata.

"Pertumbuhan ekonomi negara, kesan dan nikmatnya mesti bersifat inklusif dalam erti kata lain tidak ada kelompok sama ada di desa mahupun di bandar, tidak ada komuniti besar atau kecil yang terkecuali daripada mendapat manfaat melalui transformasi negara.

"Orang bandar juga nak rumah yang mampu dimiliki, selesa, berkualiti dan hidup dalam komuniti di mana keperluan disediakan seperti tempat rekreasi, tempat kenduri-kendara dan yang paling penting selamat," katanya.

Najib berkata projek di PR1MA Alam Damai itu yang melibatkan 2,078 unit akan dibangunkan secara usahasama antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) dan pemaju swasta iaitu Transgreen Sdn Bhd. -mStar


KD: Rujuk www.pr1ma.my/

Thursday, December 6, 2012

80,000 RUMAH MAMPU MILIK DI KAWASAN UTAMA

PETALING JAYA: Pendaftaran dalam talian untuk 80,000 rumah mampu milik yang akan dibina di 50 bandar dan pekan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemohon yang layak akan dapat mengambil bahagian dalam pengundian rumah berkenaan yang akan dibina pada kos kira-kira RM10 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Rakyat di Pulau Pinang akan menjadi yang pertama untuk mendaftar dan mendapat manfaat daripada program perumahan mampu milik bandar oelh Kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Berhad Datuk Mutalib Alias ​​pada satu taklimat media, Rabu.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek PR1MA Seremban dijangka bermula awal tahun depan manakala bidang tanah di kawasan bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk projek itu.

"PR1MA akan membangunkan 50,000 buah rumah manakala tambahan 30,000 unit rumah akan dibina melalui kerjasama dengan pemaju swasta.

"Kami akan menyediakan unit yang berpatutan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar," katanya.

Mutalib berkata individu dan pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan kolektif antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan layak untuk mendaftar untuk rumah PR1MA.

Hartanah bertingkat dan di atas tanah berharga antara RM100,000 dan RM400,000.

Katanya PR1MA menggunakan definisi fleksibel untuk pendapatan isi rumah yang layak bagi membolehkan ahli keluarga yang layak juga boleh mendaftar secara individu.

Pemohon mestilah rakyat Malaysia yang berumur 21 ke atas dan yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan bekerja atau tinggal di kawasan di mana projek itu sedang dibangunkan.

Mutalib berkata pemohon boleh menyenaraikan lima lokasi pilihan, sambil menambah mereka akan dimaklumkan tentang pengundian projek PR1MA akan datang melalui e-mel atau SMS.

"Satu sistem pendaftaran terbuka akan digunakan PR1MA di mana sesiapa yang layak boleh memohon. Pengundian akan diaudit secara bebas dan dilakukan secara telus.

Beliau berkata Akta PR1MA 2012 mula berkuat kuasa pada 1 Januari yang akan memastikan pelaksanaan projek perumahan PR1MA berada pada landasan sepatutnya.

Akta ini akan membuka jalan terhadap penubuhan Majlis Penasihat PR1MA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan akan mengurangkan kerenah birokrasi.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2009, lebih daripada 850,000 orang dengan pendapatan antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan tidak membeli rumah sendiri.

Kira-kira 60 peratus daripada permintaan untuk rumah mampu milik adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak. mStar 
DAFTAR PR1MA LEBIH MUDAH
Ketahui 7 langkah bagaimana untuk memohon dalam akhbar BH dan BH Digital hari ini. 
PETALING JAYA: Pendaftaran permohonan pemilikan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilaksanakan secara online (dalam talian) mulai Sabtu ini, bagi proses pengundian.

Ia menggantikan sistem manual secara pos yang digunakan sebelum ini dan boleh diakses melalui laman web www.pr1ma.my selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang, Sabtu ini.

Sistem pendaftaran yang bertujuan mengumpul data utama pemohon itu juga bertujuan mendapat maklumat mengenai permintaan rumah masa kini sesuai dengan kumpulan sasar yang ratarata mempunyai kemudahan internet.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata selain menjadi cara utama untuk memohon, sistem ini juga akan menentukan kelayakan seseorang pemohon di samping memperoleh data lain seperti permintaan rumah masa kini, jenis rumah dan kemampuan mengikut tangga gaji tertentu.

“Ini bukan saja akan memudahkan pelaksanaan pembinaan mengikut permintaan terkini, malah dapat memastikan proses cabutan dijalankan dengan telus kerana ia akan dipantau firma akauntan bertauliah dalam mengendalikan audit dengan semua pemohon yang mempunyai peluang sama rata,” katanya dalam taklimat kepada media, di sini, semalam.

Mereka yang berminat memohon perlu mengikuti kriteria seperti mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan, warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan tidak mempunyai rumah lebih dari satu.

Mutalib berkata, melalui peruntukan diberikan kerajaan, pihaknya akan memulakan pembinaan hampir 50,000 rumah PR1MA tahun depan khusus bagi individu bujang atau berkeluarga yang tinggal di kawasan bandar.

“Mereka yang layak diharap segera mendaftarkan diri dan pihaknya juga akan menjalankan beberapa proses cabutan undi dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.

“Maklumat terkini mengenai pembukaan pembinaan baru di bawah projek PR1MA ini akan dimaklumkan kepada pemohon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengikut pilihan kawasan mereka yang pilih ketika proses pendaftaran,” katanya.

Katanya, nama bagi pemohon yang sudah berdaftar akan kekal dalam sistem sehingga terpilih dalam cabutan untuk memiliki rumah, sebarang penambahan maklumat seperti pertukaran status boleh dikemas kini dari semasa ke semasa. BHarian

Thursday, October 18, 2012

HARGA RUMAH LEBIH MURAH

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sudah meminta Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

 “Kita boleh mengadakan perjanjian sedemikian. Kita (kerajaan) akan menyediakan jumlah tertentu bagi kos infrastruktur, dengan syarat pemaju swasta membina rumah yang lebih rendah harganya berbanding harga pasaran,” katanya.

REHDA sambut baik Najib menjawab soalan penyampai radio, Chui Ling dan Jentzen mengenai isu harga rumah, yang dikatakan mahal di Lembah Klang dalam temubual selama sejam program pagi radio ‘Morning Boss’, Melody FM di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam yang dihubungi BH mengenai perkara itu berkata, jika kerajaan boleh menampung kos keseluruhan pembinaan infrastruktur, harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus.

Beliau yang menyambut baik hasrat itu, berkata dalam kos pembinaan perumahan, 10 peratus adalah untuk pembinaan infrastruktur.

“Tapi jika sebahagian saja kos berkenaan ditanggung kerajaan, harga rumah mungkin dapat diturunkan sekitar lima hingga 10 peratus. Selain itu, lokasi sesebuah projek perumahan juga memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.

Buka pendaftaran

Perdana Menteri dalam program itu juga menjelaskan kerajaan akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 80,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kerajaan akan membuka pendaftaran bagi rumah PR1MA sebaik kawasan untuk membina rumah mampu milik dikenal pasti.

“Tetapi kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan.

“Kami akan menyediakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kos infrastruktur dan mereka boleh menjual rumah itu pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

“Jadi saya harap pemaju perumahan mendengar siaran stesen radio ini pagi ini. Datang dan berbincanglah dengan kami sama ada anda boleh menyertai dalam model kedua ini supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk orang ramai,” katanya. -BHarian