Rakyat harus yakin dan tidak berasa malu untuk menggunakan bahasa Melayu
dalam semua urusan harian kerana bahasa tersebut indah dan diterima dunia.
Presiden
Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Goh Hin San berkata,
memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya adalah tanggungjawab semua bangsa dan
harus diguna pakai secara menyeluruh.
"Biarpun
di pangkalnya ada Melayu, tetapi sebenarnya hak semua rakyat Malaysia dan kini
diperluaskan ke merata dunia," katanya kepada Utusan Malaysia sempena pelancaran
Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.
Pelancaran
bulan bahasa berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Hin San
berkata, rakyat harus tahu bahasa Melayu merupakan bahasa Austronesia yang
kelima terbesar di dunia.
Sementara
itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Yassin
menegaskan, program yang dijalankan itu hendaklah selaras dengan kempen yang
meluas supaya dapat diterima baik seluruh rakyat.
''Cabarannya
amat besar apatah lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat dengan bahasa
Melayu sentiasa berhadapan tekanan besar.
''Bahasa
Melayu adalah nilai dan jati diri bangsa Malaysia yang menggambarkan peribadi
sebuah bangsa yang berdaulat," katanya.
Dalam pada
itu, pelatih Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Nazura Muhammad, 22, berkata,
rakyat harus berasa bangga bercakap dalam bahasa Melayu dan amat wajar bahasa
itu dimartabatkan dalam apa cara sekali pun. –Utusan Online