SEREMBAN 10
Okt. - Penggunaan bahasa Melayu 'rojak' yang berleluasa dalam kalangan
masyarakat akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu, kata Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya,
kecanggihan alat media dan komunikasi maklumat termasuklah khidmat pesanan
ringkas (SMS), Twitter dan Facebook juga seringkali menyebabkan ejaan dan
sebutan yang tidak betul digunakan.
"Penggunaan
bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia
globalisasi," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa
Kebangsaan 2012 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.
Yang turut
hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan.
Muhyiddin
berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku apabila masyarakat umum tidak fasih
lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sama ada secara lisan
mahupun tulisan.
"Ini
merupakan satu petanda yang amat buruk kepada bangsa berkenaan yang sedang
mengalami kehilangan bahasa," katanya.
Menurutnya,
amat penting semua warganegara menerima hakikat bahawa bahasa Melayu bukan lagi
milik orang Melayu sahaja, bahkan turut menjadi milik semua warganegara, tidak
kira asal keturunannya.
"Kita
mahu bahasa kebangsaan menjadi teras dalam kehidupan bernegara dan hendaklah
kita bertanggungjawab menjadikannya wasilah perhubungan dalam semua bidang
khususnya pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan perdagangan,"
katanya.
Dalam pada
itu, Muhyiddin berkata, hasrat kerajaan untuk menyaksikan nisbah 0.01 peratus
jumlah penerbitan setahun berbanding dengan jumlah rakyat juga masih jauh
daripada sasaran.
"Pada
tahun lalu kita hanya berjaya menerbitkan sekitar 17,000 judul buku sedangkan
sasaran adalah 28,000 judul," katanya.
Mengenai
usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Muhyiddin
menjelaskan, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa.
"Buktinya
bahasa Melayu telah diajar dan diteliti di lebih 100 buah universiti di Eropah,
Australia, New Zealand dan Amerika Utara selain di rantau Asia Tenggara dan
Asia Timur," tegas beliau.
Timbalan
Perdana Menteri berkata, bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu secara
menyeluruh, program audit bahasa di semua jabatan dan agensi kerajaan akan mula
dilaksanakan pada tahun hadapan.
"Kita
mahu bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi negara. Kita akan berikan
penarafan bintang dalam penilaian yang dibuat kelak. Saya berharap program itu
dapat dilaksanakan di sektor swasta," katanya. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment