KUALA
LUMPUR: Kerajaan dirayu agar mengkaji semula penggunaan kamera Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) apabila kaedah berkenaan disifatkan membebankan
rakyat.
Ketika
membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013, Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka)
melahirkan kebimbangan dan keraguan mengenai matlamat pelaksanakan AES.
"Kita
tahu AES adalah untuk mengurangkan kemalangan tetapi adalah wajar juga untuk
mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya. Kita tidak mahu ia menjadi
satu perangkap atau untuk mengaut keuntungan," katanya di Dewan Rakyat
pada Rabu.
AES adalah
sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang
dikenal pasti sering berlaku kemalangan.
Ia
bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan selain
mampu mengurangkan kemalangan maut.
Kebimbangan
Sim turut disokong Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) apabila mengharapkan
kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES supaya peraturan berkenaan tidak
membebankan rakyat.
"Kita
berharap perkara ini ditangguhkan...jangan menganiya rakyat. Kalau boleh kita
harap kerajaan dapat turut mansuhkan saman saman lebih 60,000 pesalah trafik
yang dikenal pasti menerusi AES ini," katanya.
Datuk
Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula mencadangkan agar lebih banyak papan tanda
amaran diletakkan supaya pengguna jalan raya akan berhati-hati.
Fong Po
Kuan (DAP-Batu Gajah) pula berkata, beliau juga berharap kerajaan dapat
mengkaji semula AES supaya ia tidak memberi tekanan kepada pemandu.
"Ini
bukan untuk menggalakan pemandu memandu laju tetapi berpendapat mekanisme
pelaksanaan AES perlu dikaji semula supaya tidak membebankan dan memberi
tekanan kepada mereka," katanya.
Sebelum ini
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan berpuas hati
dengan impak kesalahan lalu lintas di kalangan pengguna jalan raya berikutan
penggunaan kamera AES.
Kong
berkata, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membuktikan berlaku
pengurangan dalam kesalahan lalu lintas di beberapa kawasan di mana 14 kamera
AES ditempatkan.
Fasa
pertama pelaksanaan AES berjaya mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat
ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.
No comments:
Post a Comment