MANIFESTO PR: SPR KESAL PAKATAN TOLAK TAWARAN RTM
KUALA
LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal tawaran Radio Televisyen Malaysia
(RTM) untuk menyiarkan manifesto parti politik selama 10 minit sempena Pilihan
Raya 2013 ditolak mentah-mentah pemimpin Pakatan Rakyat (PR), kata pengerusinya
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Abdul Aziz
berkata, tawaran yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,
Datuk Seri Dr Rais Yatim itu, yang membenarkan semua parti politik
membentangkan manifesto menerusi siaran RTM selama 10 minit, perlu diteliti
terlebih dahulu.
"Mereka
(Pakatan Rakyat) tuduh kita tak beri ruang, SPR usahakan bersungguh-sungguh
kepada semua parti politik supaya dasar politik mereka dapat didengar dan
dilihat rakyat.
"Memang
betul disebut 10 minit, tapi perincian syarat itu kami belum terima lagi,
mungkin 10 minit itu berkali-kali, namun pada dasarnya kita dan dapatkan ruang
untuk mereka bercakap," katanya.
Abdul Aziz
berkata, beliau merayu agar PR mempertimbangkan semula tawaran yang telah
diusahakan SPR itu dan jika timbul rasa tidak puas hati, mereka boleh
menyatakan syor agar dapat diperhalusi sekali gus menepis dakwaan mereka bahawa
SPR berat sebelah dalam memberi liputan media yang adil kepada mereka sepanjang
proses berkempen pada pilihan raya umum akan datang.
"SPR
bercadang sebaik saja dapat garis panduan ini daripada Kementerian Penerangan,
kita nak panggil semua parti politik.
"Belum
dapat butiran lagi sudah ditolak begitu saja, walhal saya banyak kali turun
naik untuk dapatkan ruang siaran itu kepada mereka, mereka sepatutnya hargai,
bukan tolak mentah-mentah," katanya.
Isnin lalu,
DAP menolak tawaran RTM untuk menyiarkan manifesto selama 10 minit, menurut
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.
"Mereka
melayan kita macam peminta sedekah, 10 minit waktu siaran tidak bermakna
kebebasan media," kata Lim.
Ia diikuti
pula dengan PAS, apabila setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali turut mengikut
jejak DAP menolak tawaran tersebut.
"Kami
tolak kerana ia adalah rakaman bukan siaran langsung," kata setiausaha
agung PAS itu kepada The Malaysian Insider.
"Boleh
jadi apa-apa kalau bukan siaran langsung," katanya lagi, apabila ditanya
jika PAS bimbang siaran tersebut diolah oleh RTM.
Rabu lalu,
ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tawaran tersebut sebagai
"memperolok-olokkan kebebasan media".
Jumaat
lalu, Rais mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan setiap parti masa
selama 10 minit untuk mewar-warkan intipati manifesto mereka, menjelang Pilihan
Raya 2013.
Rais
berkata peluang itu diberikan sebagai menghormati sistem demokrasi di dalam
negara ini.— The Malaysian Insider