Showing posts with label pakatan. Show all posts
Showing posts with label pakatan. Show all posts

Thursday, June 27, 2013

DUN KUALA BESUT SUKAR TAPI PAKATAN ADA HARAPAN - ANWAR

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu sebagai kawasan yang mencabar untuk dirampas pembangkang, sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Keputusan PRU-12 dan PRU-13
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata, ini kerana DUN tersebut telah dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang besar iaitu 2,434 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei lepas.

"(DUN Kuala Besut) benar-benar kawasan yang kritikal dan mencabar bagi satu pilihan raya kecil kerana majoriti yang diperoleh BN agak besar. Bagaimanapun, kawasan itu juga besar bagi PAS, jadi kita akan sokong calon PAS.

"PAS akan bermesyuarat segera untuk menentukan siapa yang akan bertanding (di DUN itu)," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu hari ini, akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong dilaporkan akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu.– The Malaysian Insider

KD: Tidak salah berfikiran positif, namun biarlah kena tempat dan caranya. Jangan hanya tahu berdemo sahaja.

Thursday, June 20, 2013

BATAL BOIKOT PARLIMEN,  SEMUA AHLI PARLIMEN PAKATAN ANGKAT SUMPAH 

Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya perlantikan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.

"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.

"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13.

"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya. – The Malaysian Insider

Friday, June 14, 2013

PSM: KAMI TAK 'MELUKUT' UNTUK SERTAI PAKATAN
              
Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan berkata partinya "tidak melukut" untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekalipun memohon untuk menyertai gabungan itu sebelum pilihan raya.

NONEKatanya, kongres parti itu selepas pilihan raya umum 2008 memutuskan supaya PSM mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat yang kemudiannya, beberapa pemimpin gabungan itu "meminta, mengalu-alu dan mengajak" mereka menyertai Pakatan Rakyat.

Sehinggakan, katanya, timbul persoalan di kalangan akar umbi Pakatan mengenai keikhlasan PSM dan ada yang melihat parti itu seolah-olah "terlalu angkuh" untuk menyertai pakatan itu.

"Bila kita bincang balik dalam kongres (selepas itu), banyak pandangan. Pandangan umum ahli-ahli PSM, adalah bahawa kita dengar sentimen rakyat. Kalau sentimen parti mungkin lain.

"Sentimen rakyat, mereka mahu lihat satu pasukan lawan Barisan Nasional. Dan mereka mahu PSM bersama Pakatan Rakyat.

"Sebab itu dalam surat kita kepada Pakatan Rakyat, kita dengan jelas menyatakan supaya Pakatan menilai opsyen-opsyen ini. Kita sedia mendengar tetapi pada masa yang sama kita hendak bincang masak-masak," katanya dalam wawancara Malaysiakini kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai tanggapan pelbagai pihaknya yang mendakwa PSM "terhegeh-hegeh" untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Parti berprinsip

Menurut Arutchelvan, pihaknya menyerah kepada Pakatan untuk membuat keputusan dan parti itu "ok" sama ada menyertai atau membuat kerjasama dengan gabungan pembangkang itu.

"Jadi persoalan itu (terhegeh-hegeh) tidak wujud. Maksud kami, kami tidak melukut untuk meminta untuk menyertai Pakatan. Kita sebuah parti berprinsip dan kita buat banyak perkata pun dengan kekuatan kita sendiri," katanya.

Menyifatkan status permohonan menyertai Pakatan "masih kabur-kabur" ekoran perbezaan pandangan pemimpinnya, Arutchelvan berkata PSM akan berbincang semula mengenai perkara itu dalam kongres parti itu akhir bulan ini.

Beliau juga menggesa Pakatan supaya bertanggungjawab untuk meredakan "kekeliruan" yang ditimbulkan oleh pemimpin mereka berhubung status permohonan PSM menyertai Pakatan.

"Andai kata Pakatan ada membincangkan isu ini, ia harus diberitahu kepada kita. Bagi kita, persoalan sama ada kita nak mohon semula (atau tidak) terpulang pada ahli-ahli PSM.

"Kita (pemimpin PSM) hanya boleh respon selepas kita tahu tentang apa sebenarnya status (permohonan yang kini) masih kabur," katanya.

Mood akar umbi PSM

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata mood akar umbi PSM yang berjumlah 14,000 orang terbahagi kepada dua sama ada terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat atau membina kuasa ketiga seperti kumpulan-kumpulan yang lain.

Sehubungan itu, tegasnya, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam kongres PSM yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini di Cameron Highlands.

Arutchelvan juga berkata sebelum ini, parti itu mengadakan  kerjasama strategik dengan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan isu yang melibatkan kepentingan bersama seperti kempen anti-ISA tetapi mungkin ada perbezaan dalam beberapa isu yang lain.

Isu PSM dikempen dan dipopularkan

Bagaimanapun, pihaknya gembira kerana beberapa isu seperti pendidikan percuma, akta gaji minimum dan GST yang pertama kali "dikempen dan dipopularkan" oleh PSM, telah diterima oleh Pakatan.

"Kita bukan terikut dengan program mereka. Kita punyai program kita yang sendiri. Kita melihat kempen pendidikan percuma.

"Kali pertama isu pendidikan percuma yang dilontarkan oleh PSM, lima tahun yang lalu. Hari ini menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan," katanya. -Malaysiankini

Wednesday, June 12, 2013

PAKATAN PEMBANGKANG LEBIH RASIS

KUALA LUMPUR - Penubuhan UMNO sebagai sebuah parti yang memayungi orang Melayu bukan bermaksud parti itu bersikap rasis sehingga menafikan hak kaum-kaum lain.
 
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap keterbukaan UMNO dalam menerima kaum-kaum lain ditunjukkan menerusi kesediaan berada di bawah nama dan logo sama iaitu Barisan Nasional (BN) bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, pembangkang lebih bersikap rasis selepas sehingga kini tidak mendaftarkan pakatan mereka di bawah nama dan lambang sama.

"Malah, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga bertanding atas tiket masing-masing dalam pilihan raya umum lalu meskipun mengakui kononnya berada di bawah pakatan sama," katanya.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini yang menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka. –Utusan Online

Monday, June 10, 2013

80% MAHU ANWAR BERSARA

KUALA LUMPUR - Lebih 80 peratus pembaca akhbar kewangan, The Edge mahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara setelah pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bancian secara online akhbar itu menerusi laman web, www.theedgemalaysia.com menunjukkan, sehingga pukul 7.30 petang ini sebanyak 9,077 orang menyatakan sokongan supaya Anwar mengotakan janji meletak jawatan.

Sementara itu, sebanyak 2,082 orang pula mahu Anwar terus mengetuai pakatan pembangkang kerana berjaya memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya umum lalu.

Bancian yang masih berjalan di bawah tajuk 'Pakatan rakyat telah gagal menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)’. Adakah Anwar perlu meletak jawatan sebagai ketua' secara keseluruhannya mendapat jumlah undian sebanyak 11,158 orang setakat ini.

Anwar dalam video ucapannya pada 17 Ogos tahun lalu mendakwa beliau akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah jika rakyat masih memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam pada itu, AdQrate dalam laporan yang boleh dilayari di www.adqrate.com/newspaper/details?id>35&type>1 menjelaskan, kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan 120,000 pembaca akhbar The Edge adalah kaum Cina, manakala bakinya kaum-kaum lain. – Utusan Online

Saturday, June 8, 2013

PAKATAN CADANG BOIKOT ANGKAT SUMPAH PARLIMEN

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berhasrat untuk memboikot sesi pembukaan Parlimen ke-13 sebagai tanda protes terhadap keputusan pilihan raya umum, 5 Mei lalu dan enggan menghantar soalan Parlimen.
 
Tarikh akhir bagi ahli Parlimen mengemukakan soalan untuk jawapan kementerian pada sesi yang bermula 24 Jun ini berakhir pada Rabu.

Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menghantar sebarang soalan bakal mengundang kritikan ahli-ahli Parlimen kerajaan.

"Politik adalah perkara persepsi dan persepsi yang meluas bahawa PRU13 telah dicemari oleh penipuan dan beri peluang kepada kita memikirkan pilihan sama ada untuk memboikot sesi pembukaan," kata Anwar.

Anwar mungkin dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang Parlimen oleh partinya PKR, namun jawatan berkenaan turut diintai oleh DAP.


Jawatan ketua pembangkang secara tradisi disandang oleh wakil parti yang menang paling banyak kerusi pada pilihan raya umum. –AntaraPos.com